Friday, March 16, 2007

Antara hidup dan mati

Pada suatu hari, seorang ilmuan yang bernama Abu Darda berdiri di tengah-tengah khalayak ramai bagi menerangkan kepada mereka apa yang dikatakan sebagai ‘amalan baik’. Orang ramai yang sedang sibuk di bazaar itu tertanya-tanya sesame sendiri apa yang hendak dikatakan oleh sahabat Nabi Muhammad itu.

“Mahukah saudara sekalian, kalau saya beritahu apa amalan yang terbaik dan terunggul di mata Tuhan?”

“Mahu
”, jawab mereka.

“Amalan itu lebih baik daripada perbuatan memerangi musuh, malah ia lebih baik daripada emas dan perak”, kata Abu Darda. Mereka memang kenal beliau. Beliau seorang yang mempunyai banyak ilmu dan suka menyampaikan ilmunya kepada orang lain.

Mereka ternanti-nanti apa jawapannya. Melihat orang berkumpul, makin lama makin ramai yang datang mengelilingi ilmuan itu.

"Apa dia amalan itu, katakanlah”, jerit orang ramai ingin tahu segera.

"Berzikir, iaitu mengingati Tuhan. Mengingati Tuhan itu lebih utama dan besar ganjarannya”, jelas Abu Darda sambil tersenyum manis.

Apabila kita ingat kepada Tuhan, hati kita menjadi lebih tenang dan tenteram. Ketenangan dan ketenteraman inilah jenis kekuatan yang hanya dapat dimiliki dengan ingat kepada Tuhan. Caranya ialah berzikir.

Pesan Nabi Muhammad, "perbezaan antara orang yang mengingati Tuhan dengan orang yang tidak, adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati”.

No comments: