Tuesday, May 01, 2007

Percayalah.. Sesungguhnya Allah menyayangimu..


Memang hidup ini tidak akan pernah sunyi dari setiap dugaan dan ujian. Sebagai umat Islam seharusnya kita yakin sesungguhnya setiap cabaran dan ujian hidup itu adalah bukti kasih sayang Allah terhadap kita.

Berdasarkan dalil daripada ayat 15-17, surah al-Fijr, kita harus fahami bahawa setiap kenikmatan dan kelapangan yang diberikan itu BUKAN bermakna Allah telah memberikan kemuliaan. Dan setiap orang yang diberikan ujian dan cubaan itu BUKAN bererti Allah telah menghinakannya.

Ibnu Qayyim dalam mensyarahkan dalil daripada ayat-ayat tersebut menyatakan golongan pertama itu sebenarnya telah diuji dengan beberapa kenikmatan dan golongan yang kedua itu pula telah dimuliakan dengan diberinya cubaan dan ujian.

Apa yang penting bersabar dan bermuhasabahlah selalu kepada Allah swt. Setiap orang yang beriman pasti akan menerima cubaan. Yang pasti, setiap ujian itu akan sentiasa kita alami sepanjang hayat, cuma tahap dan bentuknya mungkin berbeza-beza.

Sebagaimana yang diriwayatkan dari sebuah hadis, Saad bin Abi Waqqas pernah bertanya kepada Rasulullah saw,"Siapakah orang yang paling berat cubaannya?". Jawab baginda, "Di antara orang-orang yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam agamanya, maka beratlah ujian yang diterimanya. Sekira agamanya lemah, tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian akan selalu datang menimpa seorang hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi, dan sehingga tiada lagi kesalahan padanya."(Riwayat Tirmizi).

Setiap kali diuji, walau seberat manapun cabarannya, ketahuilah... ianya akan menjadi kayu pengukur yang menentukan keteguhan iman seseorang. Pelbagai ujian dan dugaan yang diterima itu, adalah bukti kasih sayang pencipta terhadap hambaNya. Dan juga untuk memastikan kita semua memiliki iman yang lebih kuat selepas berjaya menempuhnya dengan penuh kesabaran.

Imam Ghazali ada menulis di dalam kitabnya Mukasyafah Al Qulub,"Sesungguhnya bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar".

Selain bersabar, apa yang paling penting ingatlah Allah dan berdoalah selalu. Doa itu adalah ubat yang paling mujarab. Menurut Ibn Qayyim di dalam kitabnya Ad dah’ Wad Dawaa’, "Doa adalah musuh segala bencana. Ianya dapat menolak malah dapat menghilangkannya. Ataupun sekurang-kurangnya doa itu akan dapat meringankan segala bentuk musibah yang datang".

Sesungguhnya berdoa itu adalah senjata orang mukmin. Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam kitab sahihnya yang berasal dari Ali bin Abi Talib ra, sabda Rasulullah saw, "Doa adalah senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit serta bumi".

Akhir sekali, cuba baca perlahan-lahan dan hayatilah sabda Rasulullah saw di bawah yang maksudnya cukup indah dan mendalam sekali. Semoga ianya serba sedikit boleh menjadi penawar ataupun sekurang-kurangnya memberi sedikit suntikan kekuatan untuk kita di dalam menempuh apa saja ujian yang datang.

Janji Allah dalam sabda Rasulullah saw,"Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa sesuatu yang menyakitkan berupa penyakit atau lainnya, melainkan kerananya Allah akan menghapuskan keburukan-keburukannya sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya." (Hadis Riwayat Bukhari).

Semoga kita semua sentiasa bersabar, mengingati Allah dan berdoa selalu di dalam menghadapi apa saja bentuk ujian yang mendatang.

PERCAYALAH sesungguhnya Allah menyayangimu…

dipetik dari www.hanan.com.my

2 comments:

Ummu Yazid said...

“Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, nescaya akan diujinya dengan beberapa kesusahan” - Al-Bukhari dan Muslim

Allah menyayangimu :)..Insya Allah

nik_khoir said...

Betapa ana menyayangi shbt2 sekalian kerana Allah.

Namun, Allah itu lebih menyayangi kita kerana Dia Maha Penyayang..

Allah menyayangimu jua..=)