Friday, November 21, 2008

Bermula di satu pengakhiran (Hadiah 2)

Bermula di satu pengakhiran..
Oleh Pahrol Mohamad Juoi.
Majalah Anis Januari 08





Entah kenapa, di hari lahir kali ini, hatiku sayu sekali. Ucapan tahniah dan hadiah yang melimpah, tidak dapat mengusir segala kesepian yang menjengah. Hati terpasung oleh kata2 yang pernah diucapkan oleh Sayidina Ali:
"Manusia semua tidur, apabila mati baru mereka terjaga. "

Kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa kegembiraan yang masih ada. Apakah aku masih tidur? Ah, tidur yang sangat panjang kalau begitu. Teringat pula kata Imam Ghazali:
"Ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek-robekkan."

Ya, esok ulang tahun kelahiranku. Sudah hampir separuh abad aku bernaung di bawah langitMu ya Allah. Belum pun aku menjadi hambaMu yang sebenar. Masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika lagi? Aku tidak pasti. Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjang umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi.. semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan Selamat Hari Lahir.. selamat pulakah hari matiku?

Siapalah aku
Aku belum bersedia untuk bertemu denganMu Ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk meyatakan tidak dan tunggu. Ya Allah.. segala kekuatan hanya padaMu jua. Kau yang maha tahu apa yang terbaik untukku. Aku merayu padaMu Ya Allah, pada tarikh ini. Untuk mengemis keampunanMu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan datang Ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?

Ya Allah, di hari ini, kupinta dileraikan kusut fikirku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkan gelojak hati ini. Wahai yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun dipinggiran rahmatMu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentiasa mendamba. Entah mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang mujahadah ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah ammarah pula yang sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah ini? Terasa bersalin dua, tiga, dan.. Ya Allah, jaukan aku dari topeng munafik yang menipu daya ini.

Tak mampu menangis
Aku bukanlah Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau takwanya melimpah. Bukan juga Umar Al-Khattab, yang tega memukul diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiatul Adawiyah yang sentiasa berkata:
"Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi."

Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa.. Hatiku keras amat. Ku cuba menangis dengan rasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis. Ya Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi ’hati’ yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati, ya Allah. Aku kembara telah jauh. Namun, kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Jesteru, mudah-mudahan di hari lahirku ini aku akan ’dilahirkan’ semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan limpahan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap, minta-minta diampuni.



Hidup menanti mati
Buat sahabat, teman dan kenalan... terima kasih atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkan aku kerana gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya terimalah secebis kata ini (mungkin ini pun masih dari terowong jiwaku yang gelap-gelita.). Pesanku..
"Marilah kita hidup..
seperti orang yang menanti mati
kerana ingat mati itu
akan mengecilkan segala derita
akan mencairkan segala alpa
kiranya inilah detik terakhir
marilah kita mulakan semula
walau masih tersisa
hanya sedetik Cuma..
itu lebih bermakna! "

Permulaan yang baik?
Ah, kata pujangga, kita akan temui semula sesuatu ditempat yang kita kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik. Ah, teringat ungkapan dalam bahasa Inggeris yang pernah menjadi hiasan meja sewaktu belajar dahulu:
"In life, what sometime appears to be end is really a new beginning."
Mudah-mudahan. Ini permulaan yang baik. Amin ya Allah!

p/s: Hadiah buat diriku, juga buat shbt2 yang telah dan bakal menyambut harilahirnya. Mari kita sama2 muhasabah diri!

Selamat Hari Lahir to all Novemberian~ KHetty (4hb), ukht Aliya (5hb), ukht Hanis (6hb), ukht Siti Hafizah&Hafifah(7hb), ukht As dan ukht Hidayah (12hb), ukht Hafizah (16hb), ukht Hanim (21hb), ukht Afiah (23hb), ukht Thah (29hb) dan sahabat2 novemberian yang lain.. Moga Allah berkati kita sentiasa. InsyaAllah

No comments: