Monday, May 18, 2009

Perjuangan harus diteruskan..

Bismillahirrahmanirrahim..

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar..
Sesungguhnya segala pujian itu hanya milik Allah swt, Tuhan sekalian ‘alam..
Syukur padaNya atas segala anugerah dan nikmat dariNya.. nikmat Islam, nikmat Iman, nikmat kasihsayang, nikmat kesihatan, nikmat peluang kehidupan.. dan nikmatNya yang lain yang tak terhitung oleh diri ini.. mudah2n diri ini termasuk di dalam golongan hamba2Nya yang bersyukur..insyaAllah



Sudah sekian lama tidak menulis, alhamdulillah, akhirnya diizin Allah jua. Seawalnya ingin menulis sejurus selepas dihadiahkan Allah sebuah anugerah kejayaan.. namun saat selepas itu, ana masih tidak mampu menulis.

“Hati ini hidup apabila iman itu hidup di dalam hati. Dan diri ini tidak mampu menulis andai hati ini tidak hidup”

Hati ini yang seharusnya gembira dengan kejayaan setelah hampir 6 tahun perjuangan ilmu yang penuh dengan suka duka, namun ia tak mampu berkata-kata. Perasaan itu bercampur.. gembira beroleh yang diimpi namun sedih mengenangkan perpisahan yang akan menjenguk dan takut dengan langkah perjuangan seterusnya.. lalu ia mengambil kesempatan untuk duduk bersendirian, mencari penawar agar hati ini hidup kembali..

Seorang sahabat mengingatkan ana tatkala ana keliru dengan perasaan hati ini..
“Mungkin Allah tak nak nti kufur dengan nikmat bila terlalu gembira. Jadilah orang yang bersyukur.. Alhamdulillah”. -syifa’-

Ana akui kata2nya itu. Moga itu hikmahNya.. moga hati ini sentiasa ikhlas menerima anugerah Allah, moga diri ini menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur..insyaAllah

Perjuangan

“Hidup ini adalah satu perjuangan, dan selamanya kita hidup kita akan terus berjuang.” -nik khoir-

Setiap dari kita masing-masing pasti punyai kisah perjuangan kita. Ya, perjuangan itu tidak lepas dari warna-warna kegembiraan dan kesedihan. Itu sunnah perjuangan!

Jika ingin dituliskan kembali pahit manis sebuah perjuangan ilmu ana disini, rasanya terlalu banyak yang ingin dinukilkan, namun cukuplah andainya hikmah itu yang dapat dikongsi bersama. Menyorot kembali impian yang dicita-citakan ini, telah ana semat di hati seawal sewaktu masih di bangku sekolah rendah lagi. Waktu itu masih tidak tahu apa-apa, yang pasti ana tekad itu cita-cita diri ini. Itu cita-cita yang ana jawab apabila di tanya guru, itu cita-cita yang telah ana janjikan pada ibubapa ana, itu cita-cita yang ana kongsikan bersama sahabat2. Ana bawa cita-cita itu, berjuang sebaik-baiknya di alam persekolahan hinggalah akhirnya membawa ana ke sini. Syukur pada Allah, atas kehendak Dia jua segala apa yang ana peroleh hingga ke hari ini. Alhamdulillah.

Selepas menjejakkan kaki ke dalam pengajian perubatan ini, waktu itu ana sedar hakikatnya yang sebenar. Perjuangan ilmu ini bukan sekadar mengadap buku, bukan sekadar berusaha untuk mendapat sebuah title atau sebuah penghormatan dari masyarakat.. tetapi.. ia adalah perjuangan yang memerlukan kesabaran, semangat yang kental, kekuatan hati dan fizikal. Ia adalah perjuangan untuk memikul sebuah amanah dari Allah..

“Belajar nak jadi doktor susah, exam nak jadi doktor susah.. dah jadi doktor pun susah..”. Itulah ungkapan yang hadir pada diri ini. Sehingga ana terfikir, jika ada mereka yang ingin menjejaki langkah ini (ahli keluarga ana, anak-anak ana kelak, atau sesiapa mungkin), apakah sewajarnya yang harus ana katakan pada mereka? Emm, ana akan menceritakan kepada mereka susah senang seorang pelajar perubatan yang bukan semudah yang disangkakan, apatah lagi susah senang apabila bekerja kelak, namun jika tekad mereka ingin meneruskan, pastinya ana lah yang akan menjadi orang yang pertama menyokong mereka. Kerana ana yakin, akan ada insan-insan yang dipilih Allah berada sebaris dalam perjuangan kami di bidang ini, dan ana pasti sekiranya segala kesusahan yang hadir itu diseiringkan dengan niat ikhlas kerana Allah, berjuang untukNya.. ada anugerah disisi Allah kelak. Bukankah setiap yang kita lakukan, andai diniatkan kerana Allah itu dikira sebagai sebuah ibadah?

Moga Allah tetapkan hati ini untuk terus berjuang hanya demi mencari keredhaanNya.. InsyaAllah.

Dalam kesusahan itu pasti ada manisnya. Walau air mata ini pernah menangis atas keperitan, atas ujian diri.. tapi hati ini bahagia kerana mata ini menangis mengakui kelemahan diri sebagai hambaNya, mengakui bahawa dia tak punyai kudrat berbanding Dia yang Maha Agung. Walau diri ini pernah terduduk terjatuh di laluan perjalanan, dia bersyukur kerana Allah masih membangunkan dirinya, dia gembira kerana ada sahabat2 yang sentiasa memberi semangat padanya, ada ahli2 keluarganya yang sentiasa memberi dorongan buatnya . Walau diri ini takut diuji dihadapan mereka yang bergelar gurunya, dia sedar Allah jua yang menguasai hati-hati manusia, Allah jua yang menentukan apakah ilmu yang dipelajarinya mampu dikeluarkan saat dia memerlukannya. Walau diri ini berhempas pulas menuntut ilmu, akhirnya dia sedar tawakkal itu bekal terbaik sepanjang perjalanan perjuangan dan doa itu senjata terbaik untuk dia bawa ke medan imtihan kerana dia yakini “Tiada daya dan upaya melainkan dari Allah”.
Ya, perjuangan ini mengajarnya mengakui, Allah swt itu berhak ke atas dirinya, berhak menentukan yang terbaik buat dirinya.. dan dia ingin menjadi sebaik-baik hambaNya kerana itu tanda pengabdian dirinya pada Tuhan yang sentiasa disisinya selama ini.. Allahurabbi.. besarnya anugerah itu buat diri. Dan diri ini amat berharap anugerah itu sentiasa di sisi diri, menyedari hakikat bahawa dia tak berupaya melakukan sesuatu melainkan dengan izinNya dan segala usahanya kelak hanya sebuah ikhtiar dan hanya Dia yang Maha Menyembuhkan hamba2Nya..

Buat sahabat2 dan adik2 yang sedang berjuang.. teruskan perjuangan anda. Yakinlah pada Dia yang Maha Memberi.. InsyaAllah, andai kita telah ditakdirkan berada di bidang ini, di penjuru ini, Allah akan menghadiahkan buat kita. Dan biarlah hadiah itu kita gapai dengan niat ikhlas berjuang keranaNya, dengan diri yang penuh kesungguhan berusaha, dengan hati penuh tawakkal padaNya dan dengan jiwa penuh tawadduk dan rendah diri padaNya.

Transisi



Kini ana bakal menghadapi transisi sebuah perjalanan kehidupan, daripada alam belajar ke alam pekerjaan. Dan transisi ini memerlukan sebuah momentum yang baru, malah di harap momentum yang lebih baik, kerana perjalanannya berbeza dan lebih mencabar. Nak hadapi housemanship training yang mencabar (baca: menakutkan), nak mengurusan kehidupan setelah bekerja (uhh.. banyak sungguh orang2 offer insurans ni, dah ada yang mula bertanya bla nak edar kad wangi ni..), nak menguruskan kewangan (emm, nanti gaji monthly berapa ye nak menabung, nak bagi mak ayah, nak simpan untuk ke destinasi impian, zakat..), nak istiqamah dalam perjuangan Islam (sahabat2 jauh terpisah, keluarga jauh disisi, suasana persekitaran baru.. siapa yang nak mengingatkan diri nanti?)..

Bila kita dah kerja sendiri ni, kena pastikan rezeki yang kita dapat halalan toyyiban.. bermula dari sumber rezeki yang kita dapat hinggalah ke mana kita belanjakannya dan menyimpannya. Sahabat ana juga mengingatkan bahawa waktu transisi ini juga adalah saat paling mudah “tergelincir”. Duit ada, kerja ada, tak ada orang nak control diri.. katanya salah satu cara yang boleh membantu adalah BM (harap faham la singkatan tu ye.. huhu.. emm, namun takdirNya menentukan segalanya jua).. Ohh.. banyak yang difikirkan dan banyak yang perlu belajar.. Yang pasti, nak menguruskan semua ini perlukan ilmu. Kerana dalam ajaran Islam itu ada segala penyelesaiannya.. Islam is the way of life!. Moga Allah sentiasa memberi petunjuk buat diri ke arah jalan yang benar.

Terus melangkah

Langkah hidup ini perlu diteruskan.. Perjuangan ini bukan berakhir disini, tapi baru bermula. Sebuah kehidupan memikul amanah itu perlu dihadapi.. Berdebar, takut, runsing.. mampukah diri memikul amanah?... macam2 hadir di fikiran.
Ke mana selepas ini kaki ini bakal melangkah, bagaimana menghadapi dugaan- dugaan mendatang.. pada Allah swt juga doa dipanjatkan, moga sentiasa dalam perlindunganNya. Kita akan terus berjuang, terus belajar, kerana ilmu itu harus terus dituntut hingga ke akhirnya. Pengalaman kehidupan juga yang bakal mematangkan diri.. sekolah kehidupan, itulah tarbiyyah yang terbaik!


Sama2 kita terus berdoa sahabat2ku..
agar kita terus diberi kekuatan meniti hari-hari mendatang, dipermudahkan urusan. Moga kita semua sentiasa dalam perlindunganNya, dalam kasih sayangNya, dalam keberkatan dan keredhaanNya..
Moga diri ini terus thabat di jalan perjuangan agamaNya, memperjuangkan Islam di penjuru bidangku ini.
Moga hadirnya diri ini memberi kebaikan dan manfaat buat manusia, juga moga segala usahaku menjadi amal untuk meraih redhaNya...

Menuju Mardhatillah! InsyaAllah.

2 comments:

Ummu Yazid said...

moga segala urusanmu dipermudahkanNya, shbt ku syg :)

seeru 'ala barakatillah :)

nik_khoir said...

to Ummu Yazid

Terima kasih sahabatku sayang.. sama2 kita berdoa,mg Allah snts melimpahkan rahmatNya buat kita.Terus berjuang! insyaAllah (^_^)