Bersahur Dan Penemuan Sains Oleh Dr Danial Zainal Abidin
Bersahur merupakan salah satu amalan penting di bulan Ramadan. kerana ia adalah sunnah nabi dan waktu sahur juga merupakan waktu yang dipenuhi keberkatan. Bersahur merupakan salah satu amalan penting di bulan Ramadan.
Bagi mereka yang hanya mengkaji ilmu fikah, mereka akan berkata, ‘Oh, bersahur hukumnya adalah sunat sahaja’. Namun andai kata hukum ini dikaitkan dengan hadis-hadis nabi yang sahih, kita akan menyedari betapa pentingnya sahur ini walaupun pada dasarnya hukumnya adalah sunat.
Nabi bersabda, “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.” (Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah).
Dalam hadis ini bersahur dikaitkan dengan keberkatan. Keberkatan bermaksud rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.
Dalam riwayat yang lain baginda bersabda, “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan ahli kitab ialah makan sahur.” (Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasai).
Begitulah kepentingan bersahur sehingga ia menjadi pembeza antara puasa umat Islam dengan ahli kitab.
Ketika bersahur, umat Islam disuruh melewatkannya kerana nabi bersabda, “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa.” (Ahmad).
Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu subuh dan berhubung dengan ini Zaid bin Thabit pernah berkata, “Kami pernah bersahur bersama nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (subuh).” Kemudian Zaid bin Thabit disoal, “Berapa lama masa antara keduanya (yakni antara makan sahur dan solat subuh)?” Berkata Zaid, “Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran.” (Bukhari).
Dalam kitab Nailul Authar disebutkan, “Imam Ibn Abdil Bar berkata, hadis-hadis yang menerangkan tentang kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur kesemuanya adalah bertaraf sahih dan mutawatir.”Penekanan nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi (breakfast).
Kajian semasa menunjukkan makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi. BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah amat penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu yang lain. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Mark Pereira dan rakan-rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap penyakit kencing manis. Kajian yang sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi. Hal ini menjadi lebih penting ke atas kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan sarapan pagi ke atas kanak-kanak adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil. Kajian-kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun dari tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.
Tambahan dari itu satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakan-rakannya ke atas 700 pelajar-pelajar dari Louisiana menunjukkan, mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan ini akan menyebabkan penyakit anemia (iaitu suatu penyakit yang berkaitan dengan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001. Justeru secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur, tidak akan mendapat kemudaratan dari puasa mereka berdasarkan kajian-kajian yang dipaparkan ini.
Lebih dari itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunnah nabi dan waktu sahur juga merupakan waktu yang dipenuhi keberkatan.
Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 15-17, “Katakanlah, ‘Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa terdapat syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya. (Iaitu) orang-orang yang berdoa, Ya Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari seksa neraka. (Merekalah) orang-orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya di jalan Allah dan yang memohon ampun di waktu sahur.”
Dr. Danial bin Zainal Abidin
Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. (557557-T)04-6590208
----------------------------------------------------------------------
p/s: jangan lupe bangun sahur =) .. dalam sahur itu ada keberkatanNya
1 comment:
saya suka topik ni.
Post a Comment