Thursday, November 16, 2006

Nikmat kehidupan dan iman

-Tazkirah-

RASULULLAH saw mengingatkan kita bahawa ada dua nikmat yang sering dilupai manusia.

Sabda baginda bermaksud: "Dua nikmat yang dilupai oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan kelapangan masa." – (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Memang nilai kesihatan yang ada pada kita tidak terasa kecuali selepas sakit. Kata orang, jika hendak tahu berapa nilai kesihatan sehari-hari, lihatlah bil bayaran sewaktu merawatnya ketika sakit.
Kata ulama: "Apabila seseorang ditimpa penyakit yang menjejaskan kesihatannya, dia sanggup membelanjakan semua harta kekayaannya untuk mengubati penyakitnya."
Ketika itu kesihatannya lebih berharga daripada semua harta dunia. Sesungguhnya nikmat Allah itu akan terasa besar nilainya apabila ia hilang. Oleh itu, bersyukurlah sementara ia masih kita miliki.

Nikmat kedua ialah kelapangan masa. Masa datang hanya sekali, walaupun esok masih ada tapi hari ini tidak akan berulang dan semalam akan menjadi kenangan. Yang berlalu sekalipun satu minit tetap akan pergi dan tidak akan kembali. Sebab itu Islam mengutamakan masa.

Sebenarnya, sebesar-besar nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada manusia ialah kehidupan, manakala sebesar-besar nikmat dalam kehidupan orang Muslim ialah iman. Meskipun kita tidak pernah memohon untuk datang ke dunia ini, kehendak Allah tiada siapa yang boleh menghalang. Itulah bukti kebesaran dan kekuasaan Allah seperti firman-Nya yang bermaksud:
"Mengapa kamu kufur kepada Allah, pada hal sebelumnya kamu mati, lalu Allah hidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya semula, kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan?" – (Al-Baqarah: 28)

Sesungguhnya hidup adalah modal paling berharga bagi manusia, sebab apalah erti harta kekayaan, pangkat dan kebesaran bagi seseorang itu sedangkan dia sudah tiada lagi untuk menikmatinya. Begitu juga sebaliknya, sekiranya seseorang itu kehilangan segala-galanya, tapi ia masih hidup, maka sebenarnya dia masih dibekalkan sebesar-besar modal untuk meneruskan perjuangannya di dunia ini. Sementara bagi seorang mukmin, sebesar-besar nikmat dalam hidup ialah nikmat iman.

Iman bererti mempercayai Allah, Rasul-Nya, Kitab-Nya, Malaikat-Nya, hari akhirat serta qada dan qadar-Nya. Beriman kepada Allah yang mengeluarkan mereka daripada kegelapan kekufuran kepada cahaya iman.
Firman Allah bermaksud: "Allah Pelindung orang beriman; Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kekufuran) kepada cahaya (iman)." – (Al-Baqarah: 257)
Apa erti hidup sekiranya kita terus ada di dalam kegelapan, tidak tahu dari mana dan ke mana hendak dituju dalam hidup ini, terutama tujuan sebenar kita dihidupkan. Semua itu hanya Allah yang dapat menjawab.
Firman-Nya bermaksud: "(Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah atau bala, mereka mengucapkan: "Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nya kami kembali."– (Al-Baqarah: 156).

Dan firman-Nya bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku." – (Al-Zaariyat 51:56)

No comments: