Sunday, April 01, 2007

Harga Syafaat Rasulullah

Bismillahirrahmanirrahim

(Koleksi ANIS/ Oleh Jalilah Hj Abdullah)

Di Padang Mahsyar nanti, tidak ada siapa yang tahan bersesak-sesak bergelumang dengan peluh yang membanjir di bawah terik dan bahang matahari yang sejengkal di atas kepala sementara menunggu dibicarakan di mahkamah Rabbul Jalil.
Masing-masing mengharapkan syafaat atau pertolongan daripada para nabi dan rasul, tetapi hanya Nabi Muhammad s.a.w. yang diizinkan oleh Allah untuk memberi syafaat.

Itu pun, harga syafaat baginda tinggi nilainya. Menurut pendakwah, Ustaz Hj Hasan Mahmud Al-Hafiz, untuk mendapatkan syafaat Nabi s.a.w. tidak cukup sekadar menyuarakan kemarahan bila baginda dihina dan diperlekehkan, sekadar berselawat di dalam solat atau hanya memeriahkan sambutan maulid pada bulan Rabiulawal, sedangkan pada waktu lain untuk berselawat kepada baginda jarang sekali. Janji syafaat Nabi s.a.w. hanyalah untuk umatnya yang bersungguh-sungguh membuktikan cinta kasih kepada baginda.

Katanya, Rasulullah s.a.w. dikurniakan hak untuk memberi dua syafaat iaitu syafaat sugra (kecil) di dunia dan syafaat uzma (besar) yang berupa pertolongan di Padang Mahsyar. Sedangkan nabi-nabi lain hanya diizinkan Allah memberikan syafaat sugra iaitu pertolongan kepada umat masing-masing sewaktu para nabi dan rasul itu masih hidup.

“Di Padang Mahsyar nanti hanya Nabi Muhammad s.a.w. yang dapat beri syafaat uzma kepada seluruh umat Islam sejak zaman Nabi Allah Adam a.s. Inilah kelebihan darjat Rasulullah sebagai ketua para rasul dan nabi,” jelas Ustaz Hj. Hasan yang juga Pengarah Urusan Ibtisam Travel & Tours Sdn. Bhd.
Beliau berkata, kelebihan ini baginda jelaskan dalam sabdanya: “Setiap nabi ada doa/permohonan yang digunakan untuk mendoakan umatnya dan makbul. Sesungguhnya aku sengaja menyimpan doaku untuk syafaat kepada umatku di akhirat nanti.” (Riwayat Tirmizi)


Syafaat Sugra
Ustaz Hj. Hasan berkata, “Sejarah syafaat dikurniakan kepada para nabi sebagai mengangkat darjatnya dan sebagai satu usaha dakwah untuk menarik kaum yang keras hati untuk tunduk kepada Allah. Bukti kehebatan Islam, bukti pembelaan Allah, benteng teguh keyakinan orang yang memeluk Islam dan menjadikan musuh semakin gerun.”

Walaupun begitu, katanya, syafaat ini tidak boleh digunakan dengan semudahnya. Pertolongan ini hanya Allah izinkan untuk digunakan dalam keadaan yang benar-benar terdesak demi membela maruah agama Islam kerana syafaat ini sangat makbul jika diminta oleh para nabi kepada Allah s.w.t. dalam apa jua keadaan.

Sebab itulah Rasulullah setiap kali berdoa memohon pertolongan kepada Allah, baginda akan menggunakan bahasa yang paling baik, bukan bahasa yang mendoakan kebinasaan. Contoh doa Rasul, “Ya Allah, Engkau uruskan Abu Lahab” atau “Ya Allah, Engkau Islamkan antara dua Umar.” Maksud ‘antara dua Umar’ itu ialah Umar ibnu al-Khattab dan Abu Lahab, kedua-duanya berwatak keras, tegas tapi berpengaruh. Allah pilih Umar ibnu al-Khattab untuk jatuh cinta pada Islam, jatuh cinta pada Nabi yang mempunyai sebaik-baik akhlak dan menjadi sahabatnya yang paling akrab selepas Abu Bakar as-Siddik. Pembela kuat kepada Islam kerana dengan Islamnya Umar, ramailah yang memeluk Islam.
Rasulullah minta Allah beri petunjuk dan pembalasan yang sebaik-baiknya kepada Abu Lahab kerana Allah sahaja yang mengetahui peribadi Abu Lahab, ayah saudaranya yang sangat disegani, keras hati dan dihormati oleh kaum Quraisy Makkah. Di sini membuktikan betapa mulianya akhlak Rasulullah. Dengan sezalim-zalim manusia yang menentang Islam pun dia tetap mengharap ada kebaikan dan petunjuk dari Allah.

Melalui syafaat Nabi juga, Allah beri banyak pertolongan kepada umat Islam dalam peperangan termasuklah Perang Badar, Uhud dan Khandak. Doa Rasulullah dalam Perang Badar: “Sekiranya Engkau tak beri pertolongan maka tidak ada lagi manusia menyembah-Mu.”
Rasullullah mohon kemenangan dan minta Allah tunjukkan kehebatan dan kesabaran umat Islam dalam setiap peperangan agar beroleh keselamatan dan tidak ramai yang syahid di medan perang. Ini bertujuan untuk mantapkan iman umat Islam ketika itu supaya lebih ramai lagi yang yakin dengan agama Allah itu.
Walaupun jumlah yang pergi berperang sangat kecil berbanding dengan musuh tapi apabila umat Islam cukup yakin bahawa Allah s.w.t. ada di mana-mana dan dapat memberi pertolongan pada hamba-hamba-Nya yang sabar, hasilnya bertambah ramailah manusia yang beriman.
Firman Allah s.w.t.: “Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin itu untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antaramu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti. (Al-Anfal: 65).


Syafaat Uzma Untuk Umat Akhir Zaman
Rasulullah telah lama wafat, pastinya umat Muhammad s.a.w. zaman kini tidak dapat menyaksikan syafaat sugra sepertimana yang pernah berlaku pada zaman bermulanya Islam yang telah menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin dan kejayaan menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

Menurut Ustaz Hj. Hasan, untuk umat akhir zaman ini, Nabi s.a.w. menjanjikan syafaatnya kepada mereka yang benar-benar menjalani kehidupan menurut sunnahnya, mengamalkan setiap ajaran Islam dan bersungguh-sungguh berselawat ke atasnya.

“Syafaat yang Rasulullah maksudkan ini ialah syafaat uzma iaitu syafaat yang Nabi beri pada hari akhirat kepada umat yang terpilih,” katanya. Syafaat ini adalah sebagai tanda sayangnya Nabi s.a.w. kepada seluruh umatnya, lebih-lebih lagi umat yang tidak pernah melihatnya tapi beriman sungguh-sungguh dengannya, iaitu umat akhir zaman, umat masa kini hinggalah menuju hari kiamat.

2 comments:

Ummu Yazid said...

"Jika kamu mencintai Allah maka ikutilah aku (Muhammad saw" Al imran : 31

moga kita dikurniakan kekuatan untuk terus menerus menzahirkan cinta melalui pengibadatan kita kepadaNya sebagaimana kekasihNya Nabi Muhammad saw beribadat kepada Nya

nik_khoir said...

InsyaALLAH.

Ya Allah kurniakan kami kasih kepada kekasihMu..