Saturday, July 28, 2012

'Rosak'


Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, harini sudah memasuki 1 minggu berpuasa di bulan Ramadhan. Selamat bermujahadah menuju Taqwa!

Bagi ana cukup mudah untuk menilai iman pada diri ini di bulan ini, kerana tiada lagi syaitan yang menghasut hati, namun semuanya terbit dari diri sendiri. Mg diri ini terus kuat berusaha menghidupkan hati yang begitu lemah ini!

Minggu ini, ana di uji Allah apabila laptop rosak dan kereta rosak. 

Laptop begitu penting untuk urusan kerja. Malah kerja pun banyak – 7 mortality presentations, 2 medical report, budget department dan lain-lain lagi. Seharian sibuk di ward dan klinik, hanya punya waktu di malam hari untuk menyiapkan semua kerja. Bila laptop rosak, termenung ana sendirian, memikirkan bagaimana nak menyiapkan semua kerja. Syukur sahabat sudi membantu, sudi meminjamkan laptopnya, tapi ana juga tahu dia punya tanggungjawab yang memerlukan laptop itu. Laptop itu diformat. Tapi virus itu memang kuat, 2 kali format pun masih lagi wujud di laptop ini. Jika USB digunakan, virus itu akan terus menyerang dan melumpuhkan semua sistem di dalam komputer.


Kereta My ST pun turut rosak. 3 tahun umurnya.. tiba-tiba enjin tak dapat dihidupkan kerana bateri sudah rosak. Tersadai ia tidak bergerak. Kata orang bila kereta rosak umpama badan yang kehilangan kaki. Syukur, semua sudah dibaiki. Bateri kereta itu sudah ditukar. Alhamdulillah, sekarang boleh bergerak seperti sediakala. Bergerak berjuang meneruskan perjuangan kehidupan dan tanggungjawab!

Bila laptop rosak, kereta rosak, ana gundah gulana. Tak senang duduk. Berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaikinya. Emm.. bagaimana bila hati ini “rosak”? Oh, ana tidak mahu menyatakan ia rosak.. kerana ana begitu takut kalau ia benar-benar rosak.


Masihkah ia boleh ‘diformat’ supaya ia menjadi lebih baik? Mampukah ia bertahan dengan ‘virus-virus hati’ yang masih wujud ini? Ataupun ia harus ‘diganti’dengan hati yang baru?
Hati.. cukup sukar menafsirkan dan memahaminya. Ia tak dapat dilihat, tak dapat dipegang, tapi cukup dekat untuk dirasai, cukup penting untuk seorang manusia.

Tapi syukur, bila hati ini bermasalah, Allah masih hadirkan rasa agar berusaha untuk memperbaiki hati. Allah masih sudi mengingatkan diri agar lebih berusaha menghidupkan hati kerana hatilah yang akan memandu setiap amal perbuatan. Hati yang hidup dalam iman akan membawa diri kearah kebaikan.

Ya Allah, pelihara hatiku dari kejahatan.
Hidupkan hatiku dengan Iman.
Tenangkan hatiku dengan kasih sayang.

Pesan Imam Ghazali : 
"Carilah hatimu di 3 tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati.
Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.."



Moga bertemu ‘ubat hati’ ini...


1 comment:

amy qlate said...

semoga Allah teguhkan iman hamba ini dan menjauhinya dari kerosakan hati yg boleh merosakkan segala2nya..Amin Ya Rabbal Alamin..