Alhamdulillah, 16 Februari lepas, dengan izinNya, ana berpeluang menjadi salah seorang peserta program "Tentang Cinta". Jazakallah kepada Ustaz Hasrizal di atas perkongsian ilmu yang begitu bermanfaat.
Petikan dari laman web saifulislam.com ...
Kelantan: Demi sebuah Cinta
February 16th, 2008 by Abu Saif
Hadir ke USM Kubang Kerian hari ini merupakan suatu pengalaman yang berharga.
Tentu sahaja datang ke Kota Bharu selepas pembubaran parlimen, jiwa diselubungi dengan mood pilihanraya. Apatah lagi dengan perang bendera yang sudah mula melanda Kota Bharu Bandaraya Islam, di sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa menuju ke Rumah Tetamu di USM.
“Tak ada banyak beza Kota Bharu ini dalam setahun”, kata petugas USM yang mengambil saya.
Beliau merujuk kepada kata-kata saya bahawa kali terakhir saya berkunjung ke Kota Bharu adalah lebih setahun lalu. Semasa mengkursuskan kakitangan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di bawah kelolaan Fitrah Perkasa.
“Kelantan tidak ada duit macam negeri-negeri lain”, katanya lagi.
“Tak ada duit banyak, tetapi tak ada hutang banyak… besar nikmat tu”, saya menyampuk. Tersenyum sendirian.
Jika mahu diulas tentang perubahan, saya lebih senak perut memikirkan bandar kelahiran saya sendiri di Ipoh. Selepas puas merantau belasan tahun di luar negara, saya pulang ke Malaysia dan melihat Ipoh hampir-hampir sahaja sama dengan Ipoh belasan tahun yang lalu.
Segala-galanya lembab.
Pengangkutan awam hampir pupus. Peluang pekerjaan sangat sempit dan menyulitkan. Dan saya tidak terkejut jika keputusan pilihanraya akan datang jadi kencang kerana penduduk Ipoh mati kutu dengan kelembapan hidup.
Sekurang-kurangnya penerbangan MAS ke Kota Bharu jauh lebih kerap dan rancak kebelakangan ini, berbanding Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh yang kini menjadi tempat mendarat burung gagak mematuk ulat.
TIBA DI USM KK
Jam mencecah pukul 12 tengah malam. Saya ditempatkan di Rumah Tetamu USM KK dan masa yang berbaki, saya gunakan untuk mengemaskinikan slide bagi presentation pagi Sabtu. Hampir jam 3 juga baru saya dapat melelapkan mata. Terkenang Ummu Saif dan anak-anak, kerana tidur dengan air conditioned memang sesuatu yang kami anak beranak hargai. Terutamanya Saiful Islam yang semenjak pulang ke Malaysia dari Ireland, tidak pernah tidur berbaju.
Lahir di tempat sejuk barangkali.
PROGRAM BERMULA
Saya terkasima.
Jumlah mereka yang hadir agak besar. Mungkin mencecah 500 peserta. Dan hanya satu perlima sahaja dari kaum lelaki. Mungkin kurang macho hadir mendengar ceramah “Tentang Cinta”!
Peserta perempuan begitu ramai!
Peserta lelaki mungkin mementingkan ‘kualiti’ berbanding ‘KUANTITI’!
Tajuk ceramah ini sama dengan tajuk buku guru saya iaitu Ustaz Pahrol Mohamad Juoi iaitu Tentang Cinta. Malah saya sendiri turut serta dalam diskusi akhir Ustaz Pahrol semasa buku itu mahu diterbitkan. Namun persembahan saya dalam sesi Tentang Cinta di Kubang Kerian ini, saya olah hasil gabung jalinan buku The 7 Habits of Highly Effective Family oleh Stephen Covey, juga buku Apa Erti Saya Menganut Islam oleh Fathi Yakan.
Namun syarahan saya mulakan dengan memetik kisah dari buku Ustaz Pahrol bahawa lebih mudah untuk saya bercerita tentang HANTU berbanding cerita Tentang Cinta. Sekurang-kurangnya orang tidak pernah berjumpa dengan hantu. Kalau tidak pun, orang tidak pernah lihat hantu yang saya lihat. Maka lebih mudah untuk saya bercerita. Tetapi cinta, setiap insan ada pengalaman mengenainya dan saya sedang bercerita tentang public secret!
Akan tetapi terima sahajalah pembentangan saya, dengan anggapan ia sebagai suatu perkongsian dari bekas remaja, yang kini cintanya bertanda dengan satu isteri dan tiga anak yang saya selimutkan dengan cinta 9 tahun kami. Masih baru!
CINTA VS PILIHANRAYA
Mungkin sedikit kekok ketika rakan sibuk berkempen pilihanraya, saya bercakap tentang cinta!
Tak power gitu!
Tetapi jika petugas pilihanraya mampu menyuruh orang yang mabuk cinta keluar membuang undi, saya tabik kepada mereka!
Kuasa Cinta itu luar biasa. Kerana cinta hidup boleh musnah semusnah-musnahnya. Kerana cinta juga, kita mampu menjadi segagah-gagah manusia.
“Jika mahu terselamat dari fitnah cinta yang membuang makna dari usia, sibukkanlah diri! Sibukkan diri dengan aktiviti berpersatuan, hidup biar ada perjuangan. Ada sesuatu yang diperjuangkan. Kerana sesungguhnya air yang statik tidak mengalir akan rosak akibat statiknya ia. Pemuda yang banyak masa lapang tanpa perjuangan, akan dibunuh oleh masa lapangnya itu”, itu seruan saya sebagai langkah memaknakan hidup anak muda ini.
Syukur Alhamdulillah, program berjalan lancar biar pun setiap satu sesi pembentangan saya, ia mencecah lebih 2 jam dan program tamat pada jam 1:30 tengah hari.
Terima kasih kepada Pusat Islam USM kerana menjemput saya, dan terima kasih juga kepada AJK yang memilih cenderahati yang paling saya minati iaitu BUKU. Tiga buku dijadikan cenderahati buat saya, dua daripadanya memang tersenarai di dalam buku yang ingin saya beli iaitu:
1.Wang, Anda dan Islam oleh al-Fadhil Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman
2.Speeches That Changed the World dengan pengantar oleh Simon Sebag Montefiore, dan
3.How to Live with An Idiot oleh John Hoover
Buku ketiga di atas, menyebabkan saya tidak kering gusi, dan meredakan hati saya terhadap komen-komen yang menyakitkan hati di blog ini dan di tempat-tempat lain yang pernah saya baca.
KE RAUDHAH SAKINAH KELANTAN
Selesai pembentangan dan makan tengah hari, saya digegaskan pula ke Raudhatus Sakinah Kelantan atas jemputan Dr. Zaharah Sulaiman.
Raudhatus Sakinah (RS) beroperasi sejak Ogos 1998 di bawah pengendalian Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (WJIM) adalah sebuah projek membantu kalangan remaja bermasalah dan saya berasa sangat terharu dengan peluang yang diberikan ini.
Biar pun sesi saya hanya sekitar setengah jam sebelum bergegas ke Lapangan Terbang, saya berusaha untuk memanfaatkan waktu yang begitu singkat, untuk menyedarkan anak-anak remaja yang pernah melalui fasa gelap hidup mereka itu, dengan menjawab persoalan TUJUAN HIDUP, agar mereka tahu memandang ke depan, demi sebuah perjalanan hidup yang masih panjang.
Terima kasih juga saya ucapkan kepada sahabat saya, Dr. Zakuan Zaini Deris yang juga merupakan Naib Presiden PAPISMA kerana sudi menumpangkan saya ke Lapangan Terbang. Saya tiba di kaunter masuk pada jam 4:30 petang sedangkan pesawat berlepas pada jam 4:50! Saya adalah penumpang terakhir yang didaftarkan masuk, atas belas ihsan pegawai MAS yang membantu.
Pesawat terbang ke udara dan hati saya sayu melihat negeri Kelantan sayup di bawah. Biar pun kunjungan saya terlalu singkat kali ini, namun bibir saya tidak pernah berhenti melafazkan doa, “Allah… selamatkan negeri ini di dalam rahmat-Mu”
Saya terlena… tanpa mimpi kerana perit membaca realiti!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment