Sunday, August 17, 2008

Letaklah harapan dan impianmu padaNya..

Bismillahirrahmanirrahim

Kehidupan adalah sekolahku yang terbaik..
Ya, kehidupan anugerah Allah inilah yang telah mentarbiyyah diri ini.


Bila mengimbau kembali sejarah kehidupan, banyak manfaat yang diperoleh. Ada saat suka, ada saat duka.. ada kesalahan yang dijadikan teladan dan ada kejayaan yang dijadikan pendorong semangat.
Bila memandang ke hadapan pula.. ada impian dan harapan,berusaha dan merancang, namun semua tetap dalam ketentuan Tuhan!

Warna warni kehidupan mematangkan insan.. mendidik diri..
Saat gembira, jangan terlalu alpa dan leka, hingga terlupa pada Dia yang memberi, hingga terlupa pada mereka yang memerlukan diri, tapi harus memperbanyakkan syukur, harus terus memberi kebaikan kepada yang memerlukan.
Saat berduka, jangan putus semangat, hingga jatuh keperitan, tapi harus bangun meneruskan usaha, harus berjuang sedaya upaya.

Semalam ana bertemu sahabat sematrik ana yang telah berbaitul muslim. Belum pernah bertemu untuk mengucapkan tahniah. Alhamdulillah, berpeluang bertemu pasangan pengantin baru ini. Wajah mereka penuh ceria.. inilah hikmah yang Allah berikan.. nikmat sakinah, mawaddah, dan rahmah.

Pertemuan itu juga mengingatkan ana pada sahabatnya.. yang juga sahabat sematrik ana yang telah kembali ke rahmatullah beberapa bulan lalu. Teringat ana pada sahabat ana, ukht yang kehilangan arwah sebelum sempat membina impian keluarga.

Minda ana membawa hati ini berfikir.. tentang roda kehidupan hamba2Nya. Seorang hambaNya ini telah Allah kurniakan kebahagiaan dengan kehadiran seorang isteri disisi.. sedangkan seorang lagi hambaNya ini Allah kurniakan kedukaan kerana kehilangan insan tersayang disisi.

Sesungguhnya masa kehidupan ini akan terus berputar dan makhlukNya terus hidup dengan izinNya untuk menunaikan amanah kehidupan. Setiap kita punya sejarah kehidupan yang telah ditentukan oleh Allah. Kita tidak tahu apa yang bakal kita hadapi di masa hadapan.. bahagiakah, berdukakah..?

Yang mampu kita lakukan saat ini adalah membuat yang terbaik pada ketika ini, kerana kita tidak tahu bila kita bakal dipanggil Tuhan. Kerana kita tahu pengakhiran kehidupan yang baik adalah hanya untuk mereka yang benar2 layak memiliki.

Dan tetapkan dalam hati.. SABAR dan SYUKUR pada setiap ujian hidup..
Sabar pada ujian kesusahan dan Syukur pada ujian kebahagiaan.

Manusia yang beriman itu takkan gundah gulana dengan kehidupan, kerana dia yakin Allah akan sentiasa bersamanya setiap ketika, kerana dia tahu apa jua yang dikurnia Allah buatnya adalah yang terbaik tanda kasihsayangNya.

Jadi, dalam usaha kita, pada siapa lagi harus kita bergantung harap? Meletakkan segala impian dan harapan?..melainkan pada Dia yang Maha Menentukan.. Maha Memberi..


Allahu'alam

No comments: