Sunday, April 19, 2015

Jom bangun pagi penuh semangat!

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, hari ini masih diberi peluang merasai nikmat sebuah kehidupan.
Namun, sejak akhir-akhirni, setiap hari bangun pagi, terus rasa stress. Ohho..
Bangun pagi, kerja, balik kerja, tidur, bangun pagi balik ;) .. Rutin setiap pagi tanpa ruh semangat dalam diri.

Saya telah menemui sebuah artikel, dan dalam proses utk menjayakannya sejak minggu lepas. Utk minggu lepas, mungkin boleh dikatakan hanya 40% berjaya dilaksanakan. Saya akan terus mencuba.. untuk bangun pagi penuh semangat!!


Artikel itu bertajuk "8 things Happy people do every morning". Boleh baca artikel sepenuhnya di sini.

Saya ringkaskan rumusan artikel ini mengikut pemahaman dan azam saya.

8 perkara yang dilakukan oleh orang yang gembira setiap pagi

1. Bangun dengan penuh rasa kesyukuran
Mulakan pagi dengan cinta. Cuba untuk merasai bahagia dan syukur pada kehidupan dan anugerah di sekeliling. Pertamanya bersyukur dengan anugerah nikmat hidup yang masih dikurnia Allah - untuk kita terus membuat kebaikan, memiliki ruang untuk memohon keampunan padaNya dan peluang untuk beribadah kepadanya. Dan juga kesempatan untuk berusaha membahagiakan diri.. Serta bersyukur dengan semua yang ada disekeliling kita..
InsyaAllah, saya akan cuba jadikan rasa syukur di permulaan sebuah hari.. lafazkan Alhamdulillah.. moga hati juga sentiasa merasa gembira!

2. Mulakan setiap hari dengan hari yang baru
Harus di sematkan dalam diri, bahawa hari ini adalah hari yang baru. Semalam mungkin adalah satu kegagalan, tapi hari ini adalah hari baru untuk berjaya dan terus berjuang. Saya akan katakan pada diri - "Semoga hari ini lebih baik dari semalam.. InsyaAllah"

3. Berdoa dan solat
Permulaan pagi, kita mulakan dengan pengharapan pada Allah. Apabila bangun pagi, terus mulakan dengan berdoa.

Kemudian solat subuh. Ambil peluang walau sekejap untuk mendekatkan diri dengan Allah. Cuba jadikan amalan membaca al-mathurat atau membaca al-quran.
Moga diri akan jadi lebih semangat!

4. Membaca
Salah satu method yang boleh untuk cuba dilaksanakan adalah seperti membaca cerita-cerita motivasi atau mendengar radio. Saya cuba sematkan azam selepas solat samada untuk membaca terjemahan Al-quran 1 mukasurat setiap pagi atau membaca 1 hadis setiap pagi. Selepas itu, mendengar radio atau ceramah motivasi sambil bersiap untuk ke tempat kerja. Set!

5. Lakukan perkara dengan ringkas dan tidak terburu-buru
Bangun pagi dalam keadaan terkejar2 akan membuatkan kita stress di awal pagi. Sebaiknya pada malam hari, kita sudah menyiapkan bekalan untuk hari esok. Sebelum tidur, saya akan cuba siapkan untuk pilih baju untuk dipakai, siapkan beg untuk di bawa dan siapkan sarapan ringkas - Air putih 1 gelas, madu, 5biji kismis & 1 biji kurma :) 

6. "Exercise"
Bersenam atau bersukan akan memberi kesan yang bagus pada badan.
Saya sangat suka berjoging. Selepas bersukan, badan akan merasa ringan. Tapi awal pagi agak susah, jadi bangun pagi, selepas baca doa, saya akan cuba buat senaman ringkas. Huhu..


7. Mendapatkan udara segar

Ya, saya ke tempat kerja berjalan kaki. Walaupun suasana tidak sesuai (jalan raya ke tempat kerja akan jem setiap pagi, susah nk melintas jalan ;) ), saya akan cuba menjadikannya kesempatan untuk mendapat udara segar!

8.Menikmati keindahan sekeliling dan merasakan keberadaan pada masa sekarang

Mungkin susah untuk dipraktik pada hari bekerja.. tapi pada waktu hujung minggu, mungkin berpeluang melihat suasana kampung yang mendamaikan di awal pagi, sambil menghirup air teh yang menyaman kan?



InsyaAllah, akan cuba berusaha menunaikan azam di atas.. Agar permulaan pagi memberi erti yang lebih bermakna, menjadikan diri lebih gembira dan bersemangat!

Khoirun: Jom bangun pagi penuh semangat! :)

Saturday, February 28, 2015

Catatan bermanfaat

Bismillahirrahmanirahim

Alhamdulillah, berjaya menghabiskan bacaan buku di atas. Perasaan berjaya menghabiskan sebuah buku itu sangat bagus. 'The feeling was so great!'
Bagi seseorang sepertiku yang dahulu sangat suka membaca & menulis, namun kehilangan 'hobi kegemaranku' ini sedikit demi sedikit kerana suasana kehidupan yang dicipta menyebabkan hilangnya motivasi diri. Dan, bila berjaya menghabiskan bacaan ini, perasaan untuk membaca dan menulis itu kembali..
terima kasih kepada penulis buku ini :).

Ya, sepertimana catatan penulis,
"..anugerah yang paling dihargai oleh beliau adalah anugerah untuk berfikir dan menulis. Dengan itu, moga lebih ramai yang boleh membaca.. dan harapnya berfikir.."

Tapi paling gembira bagiku, anugerah & perasaan untuk kembali menulis adalah sebenarnya untuk diriku.. kerana menulis itu mampu membuka ruang untuk mindaku berfikir, hatiku bermuhasabah dan diriku merancang setiap langkah kehidupan!

~ Tears and grief are good for self reflection ,
Moving on is still the best solution ~
-Catatan Matluthfi-
Khoirun : Jom membaca lagi! :)

Saturday, May 03, 2014

Perasaan itu hadir sekali lagi

Bismillahirrahmanirrahim

Ya Allah..
Hatiku hampir rapuh.. terduduk.. lesu..
seperti kehilangan punca.
Terasa ujian ini berat untuk dipikul.
Pernah merasai perasaan seperti ini suatu ketika dulu..Airmata tak putus mengalir, seringkali berlinang setiap kali teringatkannya.. namun alhamdulillah, masa menyembuhkan segalanya.

Dan kali ini, perasaan itu hadir sekali lagi.
Bukan mudah bagiku.. sebagai seorang pengamal perubatan melihat apa di depanku.. tatkala telah kucuba sedaya upaya, namun takdir Allah mengatasi segalanya.
Namun terdetik di hatiku, adakah aku tidak mencuba sebaik mungkin? Masihkah ada jalan lain untukku lakukan?
Ya Allah.. aku takut aku diuji dengan hati yang tidak redha..
Bantu aku Ya Allah, mencari jalan keluar dari keresahan hati ini..
Jadikan aku hambaMu yang redha pada ketentuanMu..


Ku cuba menghayati firman-firman Allah untuk ku pujuk hatiku ini..

"Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.
(Surah Al-Munafiquun: ayat 11)

"Tidak ada kesusahan yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak juga bergembira dengan apa yang diberikan kepadamu. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."
(Surah Al-Hadid : ayat 22-23)

Semoga Allah membuka pintu hatiku, menemui jalan keluar yang lebih baik.. agar tenang hati yang gundah ini..
Allahurabbi..

 

Saturday, March 22, 2014

Seorang doktor muslim itu..

Assalamu'alaikum..

Bismillahirrahmanirrahim..


Kadang-kadang kala kita harus di ingatkan kembali akan tujuan dan destinasi perjuangan kita.. Tatkala jiwa rasa lemah, hati rasa gundah dan fizikal begitu keletihan.. tapi selagi akal masih kewarasan dalam perlindungan Allah, ayuh ingatkan kembali diri&hati.. Tujuan kita hanyalah "Lillahi ta'ala".

Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada diriku..

"Katakanlah: 'Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah Tuhan semesta alam." (Surah Al-An'aam:162)





Petikan dari buku Suri Teladan Sepanjang Zaman, Ustaz Mustafa Mashyur




1. Yang dikehendaki dengan seorang doktor muslim contoh ialah niat kerjanya itu kerana Allah dan bukan kerana dunia. Harta adalah sebagai yang mendatang bukan sebagai asal tujuan dan yang diniatkan untuk bekerja.

2. Doktor muslim contoh hendaklah beriktikad bahawa yang menyembuhkan penyakit itu ialah Allah. Apakah yang dibuatnya seperti memeriksa dan mengubati adalah sebagai wasilah sahaja. Dia hendaklah selalu memohon kepada Allah semasa memeriksa pesakit dan mengubatinya.

3. Doktor muslim contoh hendaklah bersifat lemah lembut, lapang dada dan berperasaan, biasakan dengan kata-kata yang baik ketika melayani pesakit kerana cara itu memberi kesan psyikologi kepada pesakit. Dia hendaklah memberi harapan yang sepatutnya kepada pesakit untuk sembuh dengan izin Allah. Pesakit begini sensitif terhadap perkataan dan pergerakan yang lahir dari doktor ketika pemeriksaan kerana pesakit mengharapkan penyakitnya sembuh.

4. Doktor muslim contoh hendaklah menunaikan tanggungjawab (kewajipannya) dengan cara yang paling sempurna dengan tidak mengira kedudukan pesakit itu sama ada fakir atau kaya, yang berpangkat atau tidak.

5. Janganlah mengenakan bayaran yang mahal kepada pesakit. Hendaklah menilai keadaan pesakit itu dari segi kewangannya walaupun dengan menanggung rugi bagi setengahnya. Tenangkanlah hati bahawa Allah akan menggantikannya dengan berkali-kali ganda.

6. Doktor muslim contoh hendaklah menjaga peraturan kebersihan tempat kerjanya, menentukan setiap pesakit itu pada waktu-waktu yang tertentu (make appointment) supaya tidak membuang masa pesakit hanya kerana menunggu.

7. Doktor muslim contoh hendaklah menjaga waktu solat dan memberikan kemudahan kepada pelanggannya untuk menunaikan solat ketika masuk waktunya.

8. Dia juga hendaklah mahir dengan hukum-hukum fiqh yang ada hubungan dengan kerjayanya supaya tidak terjerumus di dalam dosa. Begitu juga jika pesakit ingin tahu tentang hukum fiqh maka doktor dapat menunjukkannya.

9. Para doktor muslim sanggup bekerja di Negara-negara Islam walaupun jauh dari kehidupan kota. Kita tidak boleh membiarkan doktor-doktor missionari kristian mnyebarkan risalah kristian dikalangan pesakit-pesakit Islam sedangkan doktor-doktor muslim lebih mengutamakan kerja-kerja di negara-negara yang mempunyai kehidupan yang menyeronokkan.

10. Apa yang kami utarakan terhadap doktor-doktor muslim hendaklah menjadi contoh yang baik semasa melayani pesakit, sabar ke atas kesihatan mereka dan ‘empathy’ keadaan penderitaan mereka – kerana inilah medan dakwah kita.


(re-post dari Seorang doktor muslim itu)

Khoirun: Jom kita beramal kerana Allah!!

Monday, September 16, 2013

Doa kami sentiasa bersama

Bismillahirrahmanirrahim..

Sebuah nasyid buat Rabia Mesir dan Syria!
R4bia Syria dari Hafiz Hamidun..




Mari kita sentiasa lafazkan doa buat saudara-saudara kita di bumi Palestin, Syria, Mesir, Rohingya dan seluruh dunia.. Doa itu senjata mukmin. Moga Allah beri kekuatan buat pejuang-pejuang agama Allah!
Takbir! Allahuakbar!



Khoirun: Ayuh sama2 berusaha membantu saudara2 kita.. berusaha yang termampu, hadiahkan doa dan bantuan kepada mereka..

Bersabar atas sebuah kehilangan

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat kehidupan. Cukup sempurna kehidupan di sekeliling kita, cuma kadang-kadang diri ini lupa untuk bersyukur. Setiap kali merasa kesepian, diri ini lupa bersyukur, ada keluarga yang tersayang setia di sisi, ada sahabat yang yang dikasihi di sekeliling.. tatkala kepenatan dan sibuk bekerja, diri ini lupa bersyukur, ada pegawai atasan yang membantu, ada teman sekerja yang menghulurkan bantuan.. dan pastinya ada Allah swt yang sentiasa bersama setiap masa membantu dan melindungi diri dengan rahmatNya. Terima kasih Ya Allah !
~nik_khoir~

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Minggu lepas, oncall di hari cuti. "Weekend's oncall", ia satu amanah yang mencabar dan menguji diri. Dan oncall kali ini memang sangat mencabar. Bermula awal pagi, keadaan sudah sibuk. Ada seorang pesakit menjadi kritikal keadaannya. Allahurabbi! Segala usaha dilakukan untuk membantu adik ini, namun keadaannya begitu cepat merosot. Kita hanya mampu berusaha, Allah jua yang berhak ke atas hambaNya..
Akhirnya, Allah memanggil adik ini kembali padaNya setelah hampir 16 jam di rawat di unit rawatan rapi.




"Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un".
Melihat ibu dan ayahnya, hampir menitis air mata ini. Mereka apatah lagi.. luluh hati mereka, mencurah menitis air mata, namun ana lihat, mereka cukup sabar dan redha dengan pemergian insan yang amat mereka dikasihi ini.  Andai ana ditempat mereka, ana pun tidak pasti, mampukah diri ini menjadi setabah mereka? Ya Allah, jangan Kau uji kami dengan ujian yang tidak mampu kami lalui.
Anak itu masih kecil, namun dipilih Allah untuk diuji. Dan ujian itu pasti ada hikmah dariNya.
Bersabarlah wahai saudara-saudaraku yang diuji.. Kerana sabar itu ada ganjaran dariNya.
Moga Allah snts merahmatimu wahai adik kecilku, dan moga Allah snts menberi kesabaran buat keluarga ini..
Allahurabbi..

Sama-sama kita menghayati firman Allah swt yang bermaksud:

" Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
 (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." 
 Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. "
(Surah Al-Baqarah: 155-157)


Khoirun: Moga Allah mengurniakan kita sebuah kesabaran itu tatkala kita diuji..

Tuesday, September 10, 2013

Hati ini rindu untuk menulis..

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..


Allahurabbi.. Hati ini sudah mula rindu untuk menulis.
Kerana hati ini berharap dengan menulis itulah jiwa ini akan lebih berusaha mencari ilmu, dan dengan ilmu itulah diri ini akan berusaha untuk menyampaikan sebuah kebaikan. Walau sekadar kata ringkas, namun paling kurang, ia mampu mengingatkan jiwa-jiwa yang kelesuan terutama jiwa diri ini sendiri. InsyaAllah.

Ya Allah, permudahkanlah..


"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.”
(Surah Al-'Asr: 1-3)


Khoirun: "Fastabikul khoirat!"  :)

Wednesday, October 31, 2012

Rindu Baitullah

Bismillahirrahmanirrahim..

Rindu akan Baitullah...

"Rindu akan Baitullah bukanlah gemersik rindu yang dicipta.
Ia lahir dari hati yang ikhlas dan diri yang kerdil.
Pengakuan bahawa manusia itu hamba, pengakuan bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan kita bakal dihimpunkan tanpa apa-apa.
Sesungguhnya setiap mereka yang pernah menjadi tetamuNya pasti memahami runtunan jiwa untuk kembali ke sana.
Rasa redha, syukur dan bahagia menyelinap-perasaan yang tiada galang ganti, tidak mungkin dapat dibeli atau diberi.."
Penulis buku 'Rinduku pada Baitullah' , Dr. Ridzwan Bakar.


Dan sesungguhnya hati ini juga sentiasa rindu untuk ke sana.. setiap kali berbicara tentang Baitullah atau berbicara untuk ke sana, pasti hati ini sangat mudah tersentuh dan air mata ini sangat mudah mengalir..

Ya Allah, hatiku ini terlalu rindu untuk menyahut panggillan ke rumah Allah.. rindu untuk merasai kedamaian dan ketenangan di bawah lindungan bumi barokah, di tanah perjuangan Nabi Allah..
Ku mohon padaMu sepenuh hatiku..rezekikanlah diriku untuk tiba di sana...


Ya Allah, permudahkanlah dan rezekikanlah..
Ameen..

Saturday, October 20, 2012

Hujan dan rindu

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah.. saat tangan ini diizin Allah menulis di laman Khoirun ini, hujan sedang turun membasahi bumi Tawau. Bunyi rintik hujan amat mendamaikan. Cukup indah untuk dihayati dan perasaan tenang itu tulus memenuhi sebuah hati.

Harini, ana keseorangan di rumah. Berpeluang off 2 hari setelah 2minggu bekerja berturut-turut. Dan hari off amatlah bermakna buat seorang pegawai perubatan yang sentiasa kesibukan. Sahabat serumah bekerja hari ini, dan seorang pulang ke kampung, jadi tinggallah diri ini keseorangan dirumah.. namun, jadual harian tetap padat dengan urusan kerja yang masih perlu diselesaikan.

Hujan masih turun.. dan kedamaian hujan itu membuatkan perasaan halus menyelubungi diri.. ya.. perasaan rindu.. Rindu pada ibu, ayah, keluarga tersayang, sahabat2 tersayang, dan rindu pada suasana tarbiyyah yang pernah dilalui dulu yang sehingga kini tetap menjadi kenangan yang sangat dihargai.



Paling rindu.. rindu untuk merasai hujan seperti ini di kampung seperti dulu..
3 tahun meninggalkan kampung halaman dan berjuang keseorangan disini cukup memberi erti kehidupan seorang musafir. Dan sesungguhnya rindu ini telah menitiskan airmataku..

"Ya Allah, aku rindu pada mereka yang kukasihi.. dan kuharap Engkau sentiasa Mengasihi dan Melindungi mereka walau di mana mereka berada.. InsyaAllah"

Khoirun: Hujan itu telah membawa sebuah rindu ke dalam hati..

Sunday, October 07, 2012

Masa terus berlalu

Bismillahirrahmanirahim

Begitu cepat masa berlalu.. Syawal berlalu, Zulkaedah menjelang.. September berlalu, Oktober menjelang.


Setiap masa yang hadir dirasakan terlalu padat.. Penuh dengan urusan dan amanah.. namun hati takut.. takut pada kesibukan dunia, takut diri jadi terlupa dengan urusan akhirat.


Dan dalam kesibukan itu, hati tertanya-tanya.. untuk apa aku bertungkus-lumus mengharung kesibukan dunia ini? Adakah sekadar menyiapkan kerja yang diberi atau memuaskan hati agar tidak dimarahi atasan kerana urusan tanggungjawab yang diamanahkan mereka. Dan bagaimana pula dengan amanah dari Allah?



Oh.. sesekali terasa ingin lari dari kecelaruan hidup atas kesibukan urusan seharian..

Kerana hidup bukan sekadar untuk menghabiskan sisa-sisa umur. Amanah kerja bukan sekadar bebanan untuk memastikan tanggungjawab terlaksana.. Kita harus ada tujuan, hidup harus ada fokus.
Dan sesungguhnya di dalam Al-Quran, ayat-ayat cinta Allah ada mengingatkan kita tentang tujuan hidup ini sebagaimana FirmanNya:

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya."
(Surah Al-Zariyat: Ayat 56-58)


Tujuan itu jelas.. Dan hanya melalui matlamat itulah, setiap langkah kehidupan harus di susun. Bukan mudah, tapi payah, kerana perjuangan hidup yang susah ini ada ganjaran yang hebat kelak! 

Hati ini sedar dan hati harus akur pada tujuan.. Dan inilah 'ikrar'ku yang harus sentiasa di ingatkan pada diri sendiri agar hidup sentiasa bermatlamat..

"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." 
(Surah Al-An'am: Ayat 162)


Matlamat hidup sudah difahami, maka inilah masanya  untuk bergerak.. 
Selamat berjuang! Moga Allah redha! 




Khoirun: Kadangkala bila terlalu sibuk dengan urusan dunia, terasa sangat takut diri jadi terlupa dengan urusan akhirat. "Ya Allah, tunjukkan kami jalan yang lurus. Ameen"