Saturday, October 20, 2012
Hujan dan rindu
Alhamdulillah.. saat tangan ini diizin Allah menulis di laman Khoirun ini, hujan sedang turun membasahi bumi Tawau. Bunyi rintik hujan amat mendamaikan. Cukup indah untuk dihayati dan perasaan tenang itu tulus memenuhi sebuah hati.
Harini, ana keseorangan di rumah. Berpeluang off 2 hari setelah 2minggu bekerja berturut-turut. Dan hari off amatlah bermakna buat seorang pegawai perubatan yang sentiasa kesibukan. Sahabat serumah bekerja hari ini, dan seorang pulang ke kampung, jadi tinggallah diri ini keseorangan dirumah.. namun, jadual harian tetap padat dengan urusan kerja yang masih perlu diselesaikan.
Hujan masih turun.. dan kedamaian hujan itu membuatkan perasaan halus menyelubungi diri.. ya.. perasaan rindu.. Rindu pada ibu, ayah, keluarga tersayang, sahabat2 tersayang, dan rindu pada suasana tarbiyyah yang pernah dilalui dulu yang sehingga kini tetap menjadi kenangan yang sangat dihargai.
Paling rindu.. rindu untuk merasai hujan seperti ini di kampung seperti dulu..
3 tahun meninggalkan kampung halaman dan berjuang keseorangan disini cukup memberi erti kehidupan seorang musafir. Dan sesungguhnya rindu ini telah menitiskan airmataku..
"Ya Allah, aku rindu pada mereka yang kukasihi.. dan kuharap Engkau sentiasa Mengasihi dan Melindungi mereka walau di mana mereka berada.. InsyaAllah"
Khoirun: Hujan itu telah membawa sebuah rindu ke dalam hati..
Thursday, August 23, 2012
Salam Aidilfitri 1433H
Alhamdulillah, kedatangan Syawal 1433H memberi seribu makna buat hati-hati setiap insan muslim. Kebahagiaan sangat dirasai di atas kemenangan berpuasa dan melaksanakan ibadah di bulan Ramadhan, malah lebih dihargai kerana berpeluang meraikan bersama yang tersayang.. Alhamdulillah.. (^_^)
Taqabbalallah minna wa minkum!
Khoirun: Moga kita semua berpeluang bertemu Ramadhan di tahun hadapan.. Rezekikan kami Ya Allah..
Saturday, July 28, 2012
'Rosak'
Kereta My ST pun turut rosak. 3 tahun umurnya.. tiba-tiba enjin tak dapat dihidupkan kerana bateri sudah rosak. Tersadai ia tidak bergerak. Kata orang bila kereta rosak umpama badan yang kehilangan kaki. Syukur, semua sudah dibaiki. Bateri kereta itu sudah ditukar. Alhamdulillah, sekarang boleh bergerak seperti sediakala. Bergerak berjuang meneruskan perjuangan kehidupan dan tanggungjawab!
Masihkah ia boleh ‘diformat’ supaya ia menjadi lebih baik? Mampukah ia bertahan dengan ‘virus-virus hati’ yang masih wujud ini? Ataupun ia harus ‘diganti’dengan hati yang baru?
Ya Allah, pelihara hatiku dari kejahatan.
Thursday, May 03, 2012
Sebarkan kebaikan
Alhamdulillah, harini kami meraikan 2 orang senior yang kami hormati dan kasihi yang bakal melanjutkan pelajaran dalam peringkat Sarjana Muda.
Majlis untuk meraikan pemergian? =) Oh pastinya bukan.. kerana majlis ini dibuat istimewa untuk yang diraikan.. bagi meraikan segala kebaikan dan jasa2 yang telah diberikan, memberi peluang untuk setiap kesilapan dimaafkan dan memberi kata semangat untuk meneruskan perjuangan seterusnya. Ya, itulah objektifnya!
Ana terkesan dengan salah-satu kata2 ucapan yang diberikan. Yang juga pernah diucapkan oleh seorang senior kepada ana sewaktu medical student dulu.
Ya, hanya itu yang mampu kita doakan. Mudah2n kebaikan yang kita bagi, akan dibalas dengan kebaikan pada orang2 yang kita sayangi. Berdoalah padaNya.. InsyaAllah.
Firman Allah swt:
"Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?"
(Surah Ar-Rahman : 60)
"Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga."
(Surah Al Isra’ : 7)
Oh, tetiba kerinduan pada ibu,ayah dan keluarga hadir. Kejauhan musafir ini memisahkan kita. Namun, jauh disudut hati, betapa diri ini merindui mereka. Betapa tangan ini berharap untuk mencurah sebanyak kasih sayang.. Agar dengan redha mereka membawakan keampunan dari Allah buat diri, agar kasihsayang mereka akan membahagiakan diri. Diri ini berharap kejauhan ini tetap didekatkan dengan doa yang tidak putus buat mereka yang kusayangi. Oleh itu, banyakkan berdoa untuk mereka wahai diriku!
Ayuh sekalian, kita sebarkan kebaikan pada insan.
Moga kebaikan-kebaikan itu dibalas dengan kebaikan juga. Jika bukan di sini, mudah2n di akhirat sana kelak! InsyaAllah. Fastabikul khairat!
"Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya."
(Surah Al-Mukminun : 111)
"Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau wanita sedang dia orang beriman, maka mereka itu masuk syurga dan mereka tidak pula dianiaya sedikit pun..."
(Surah An-Nisa : 124)
Sunday, April 08, 2012
Bangun semula
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.
Hanya kepadaNya dipanjatkan kesyukuran kerana masih memberi peluang untuk hambaNya ini meniti perjalanan kehidupan. Setelah begitu lama menyepi, akhirnya hati ini terbuka (dengan izinNya) untuk ana memulakan kembali bicara di Laman Khoirun ini.

Sesungguhnya segalanya dalam perancangan Tuhan.
Bicara yang dimulakan kembali ini bukan semata untuk sesiapa namun pastinya untuk diri ini sendiri kerana orang yang paling dekat dengan yang menulis adalah diri ana sendiri. Menulis bukan untuk semata memberi malah bagi ana memberi peringatan buat diri ana sendiri. InsyaAllah, dengan azam dan harapan, doa dipanjatkan agar Allah memberi peluang untuk diri ana memperbaiki diri setelah sekian lama terhampar sepi.
Allahurabbi, seusai solat sebentar tadi, Al-Quran yang menjadi teman setia di sisi diri ini ana buka.. Terharu lalu menitislah air mata yang sekian lama menjadi penyembuh diri. Sungguh Allah itu begitu dekat. Ayat2 cintaNya hadir tepat pada masanya. . Allah, maafkan hambaMu ini..
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah2n Tuhan kamu akan menghapus kesalahan2mu dan memasukkan kamu ke dalam syurga2 yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak mengecewakan Nabi dan orang2 yang beriman bersama dengannya, sedang cahaya mereka memancar dihadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka berkata, "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah untuk kami cahaya kami dan ampunilah kami. Sungguh, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (At-Tahrim : 8)
Begitu lama ana bersendiri.. 2011 berlalu pergi dengan dugaan-dugaan yang begitu mencabar diri. Dan ana akui, bahawa diri ini telah tewas dan terjatuh.
Antara tanda-tanda diri tiada berkat ialah dirinya tidak memberi manfaat. Nak bagi nasihat tak dapat, nak berdakwah tak boleh, nak tolong orang tak mahu, nak bersilaturrahim tak mahu, berpanjangan sengketa, sentiasa rasa tidak cukup, sentiasa gelisah.Setelah ana membaca peringatan itu, takut rasanya.. khuatir kehilangan berkat sebagai seorang hambaNya. Kehidupanku selama ini, menjalani rutin kehidupan seperti biasa dan senyum itu akan menghiasi diri, menutup memori yang pernah menjengah diri, tapi ana sedar bahawa luka dan kesedihan itu masih wujud di hati. Tidak tahu mengapa begitu sukarnya untuk menghilangkan semua kedukaan itu. Kedukaan yang menyebabkan kini ana semakin kehilangan diri sendiri dan semakin jauh dengan cinta dan kasih sayang. Bukan ujian itu yang menjadi punca, kerana ujian itu seharusnya menguatkan diri tetapi iman ini yang tertewas. Astagfirullaah.. Moga Allah mengampuni diriku, moga keluarga dan sahabat2 serta mereka yang di sisiku memaafkanku.

Dan bermula saat ini, ana sedar kesilapan diri. Ana tidak mahu lagi semakin menjauh. Tidak mahu lagi kehilangan saat2 berharga seorang hambaNya. Ana akan berusaha mencari peluang kebaikan, mencari ruang bahagia, mencari hikmah cinta&kasih sayang, mencari sinar Iman dan paling penting mencari redha Allah agar perjalanan hidup yang masih di izin Tuhan ini beroleh keberkatanNya, berakhir dengan husnul khatimah dan menemui destinasi utama.. Syurga Allah..
Allahurabbi.. redhai aku... :(
p/s: istiqamahlah wahai hati berjuang memperbaiki diri..
Sunday, November 27, 2011
Sunday, May 01, 2011
Saturday, April 30, 2011
Make me Strong..
I know I’m waiting
Waiting for something
Something to happen to me
But this waiting comes with
Trials and challenges
Nothing in life is free
I wish that somehow
You’d tell me out aloud
That on that day I’ll be ok
But we’ll never know cause
That’s not the way it works
Help me find my way
My Lord show me right from wrong
Give me light make me strong
I know the road is long
Make me strong
Sometimes it just gets too much
I feel that I’ve lost touch
I know the road is long
Make me strong
I know I’m waiting
Yearning for something
Something known only to me
This waiting comes with
Trials and challenges
Life is one mystery
I wish that somehow
You’d tell me out aloud
That on that day you’ll forgive me
But we’ll never know cause
That’s not the way it works
I beg for your mercy
My Lord show me right from wrong
Give me light make me strong
I know the road is long
Make me strong
Sometimes it just gets too much
I feel that I’ve lost touch
I know the road is long
Make me strong
~Make me strong, Sami Yusuf~
Ujian hadir tanpa kita minta.
Ujian bukan untuk melemahkan tetapi untuk menguatkan iman hambaNya.
Sekalipun terasa begitu perit untuk dihadapi, penuh dengan tangisan airmata, terasa begitu lemah untuk meneruskan kehidupan.. tetapi percayalah, ada hikmah dari Allah atas setiap sesuatu yang berlaku dan yakinlah Allah tidak akan menguji hambaNya dengan sesuatu yang kita tidak mampu.
Rendahkan hati, bukakanlah pintu untuk redha pada takdirNya dan letakkan sepenuh tawakkal padaNya.. InsyaAllah, hati ini akan lapang menerima ujian Allah.
Semoga hati ini redha dengan sebuah takdirNya.
Ya Allah, kurniakanlah ku kekuatan..
p/s: Menanti hikmahNya..
Wednesday, February 16, 2011
Menjadi Diriku

Tak seperti indah pelangi
Karena diriku bukanlah mereka
Ku apa adanya
Dan wajahku memang begini
Sikapku jelas tak sempurna
Ku akui ku bukanlah mereka
Ku apa adanya
Menjadi diriku
Dengan segala kekurangan
Menjadi diriku
Atas kelebihanku.......
Terimalah aku
Seperti apa adanya
Aku hanya insan biasa
tak mungkin sempurna
Tetap ku bangga
Atas apa yang ku punya
Setiap waktu ku nikmati
Anugerah hidup yang ku miliki
~ Menjadi Diriku
Munsyid: EdCoustic ~
Kelebihan yang ada, kita manfaatkan untuk membuat lebih amal kebaikan.. dan
kekurangan yang ada, kita jadikan peluang berusaha untuk menjadi yang lebih baik!
Firman Allah swt yang bermaksud:
“Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kalian dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kalian saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”
(Al-Hujurat [49]: ayat 13)
p/s: Ku adalah diriku.. (^_^)
Sunday, January 09, 2011
2011..
tetapi adalah masa yang berlalu dan takkan kembali.
Kelmarin yang luput menjadi secangkir kenangan,
kelmarin yang terluput mengukir sesalan.
Yang ada hanya hari ini dan akan datang.
Gunakan hari ini sebaiknya kerana esok belum tentu milik kita,
sedangkan semalam telah pergi selamanya.."

2010 telah berlalu..
membawa bersama suka duka..
senyum ketawa dan derai airmata..
juga impian yang telah dicita
dan impian yang belum dicapai yang mungkin kerana
belum sampai masanya atau mungkin kerana Allah swt telah menggantikan impian itu menjadi kenyataan yang lebih baik buat penghidupan hambaNya.. InsyaAllah.
(^_^) Selamat Tahun Baru 2011 Masihi.. semoga perjalanan kita semua di tahun ini sentiasa diberkati Allah swt.. InsyaAllah.
Sunday, November 14, 2010
Selamat Hari Lahir.. buatku
Wahai diriku.."Pertama telah kupandang makhluk yang banyak ini..
Maka aku saksikanlah bahawa
tiap-tiap mereka mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya tertambat.
Sebahagian daripada kekasih itu hanya mendampingi
sampai ke sakit yang membawa maut
dan sebahagian hanya sampai ke tepi liang kubur.
Setelah itu kesemuanya pulang dan meninggalkan kekasihnya seorang diri.
Tidak seorang pun yang turut masuk ke kubur dan menghiburkan di dalamnya.
Yang demikian tidak kudapati selain amal yang soleh.
Sebab itu,
maka kuambil ia menjadi kekasihku,
supaya kelak ia menjadi pelita di dalam kubur,
menghiburkan dan tidak meninggalkan aku seorang diri."
(Riwayat al-Tarmizi)
p/s: Selamat Hari Lahir buat diriku.. usia yang bertambah, muhasabahlah, agar iman dan amalmu juga kian bertambah kerana umur yang meningkat itu bermakna bertambah dekatnya usia manusia itu pada sebuah pengakhiran.. Astaghfirullah..
Sunday, January 03, 2010
Moga Allah memberkati kalian..

Alhamdulillah.. tahniah buat sahabat2 kesayanganku sekalian.. Dengan Izin Allah, Tahun 2009 mempertautkan antara 2 insan di bawah baitul muslim penuh keberkatan. Ana dari kejauhan, hanya mampu menghadiahkan doa, moga Allah memberkati kalian..(^_^).

Moga Allah memberkati untukmu dan berkat ke atasmu serta mengumpulkan kamu berdua dalam kebajikan.
(Hadith Riwayat Ashabus Sunan kecuali An Nasai dan lihat Shahih Tirmidzi 1/317)
Sahabat2ku,
Sekalung ucapan tahniah kerana telah berpeluang menyahut tuntutan sunnah Rasulullah saw, Rasul junjungan ikutan kita..
Sabda baginda saw
"Hendaklah kamu berkahwin. Sesungguhnya aku berbangga dengan bilangan kamu yang banyak di hadapan umat-umat yang lain di hari kiamat. Janganlah kamu menjadi seperti Rahib Nasrani (yang enggan berkahwin)".
(Riwayat Imam al-Baihaqi dari Abu Umamah r.a)
Dan berbanggalah juga sahabatku, kerana antum telah menyempurnakan sebahagian daripada agamamu..

Kudoakan Moga hikmah sakinah, mawaddah wa rahmah mengiringi perjalanan hidup kalian..
Firman Allah swt yang bermaksud:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir".
(Surah ar-Rum, ayat 21)
Juga doaku Moga sahabat2 sekalian berjaya menjadi sebaik-baik isteri.. penyejuk mata buat kekunci Syurga ntum..
Rasulullah SAW pernah ditanya tentang sebaik-baik isteri. Lalu Baginda menjawab: "Iaitu isteri yang menghadirkan rasa gembira kepadamu apabila memandangnya. Bila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu sebaiknya dan menjaga hartamu."
(Hadis Riwayat Ahmad dan lainnya ; dianggap ‘hasan’ oleh al-Albani).
Dan sabda Baginda juga yang bermaksud :
"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang dikehendaki."
(Hadis Riwayat Ahmad)
INSYAALLAH...
~Special wishes buat sahabat2 semua.. Ukhti Yati, Ukhti Ain, Ukhti Kak Karimah, Ukhti NurulHafizah, Ukhti CheQam, Ukhti Kak Ct Maryam, Ukhti Kak Shidah, Ukhti Ashikin.. Kejauhan ini tidak mengizinkan diri ini untuk bersama antum di hari bahagia. Buat shbt2ku yang lain.. kudoakan Allah permudahkan urusan antum sekalian.. waiting for the good news from all of u.. jgn lupe org jauh dicni..wink,wink (^_^)~
p/s:tengah hepi.. sebab berpeluang tengok gambar walimah shbt2 kesayangan. Semua berseri2.. TQ buat shbt2 yang post gambar. Terubat rindu ini..
Saturday, November 14, 2009
Anugerah kehidupan
Tataplah hidup ini dengan penuh cinta dan harapan...
Hidup adalah anugerah Allah kepada makhlukNya. Justeru, terimalah hadiah dari yang Maha Esa, ambillah dengan senang dan bangga.
Sambutlah waktu pagi yang cerah dan senyum yang indah. Sambutlah malam yang tenang dan sunyi. Sambutlah siang yang bercahaya dan bersinar. Minumlah air yang jernih sambil memuji dan bersyukur. Hisaplah harum bunga dengan bertasbih. Dan renungkanlah alam raya sambil mengambil pengajaran yang berharga darinya.
Nikmatilah anugerah apa sahaja yang ada di bumi, di kelopak mawar, di panasnya matahari dan lain-lain. Jadikan anugerah itu sebagai penyokong untuk taat, bersyukur dan memuji Allah.

Berhati-hatilah, janganlah sampai anda diliputi oleh kedukaan, kebingungan dan keadaan yang tidak menentu kerana nikmat-nikmat ini, sehingga anda menjadi orang yang keras kepala dan bongkak. Ketahuilah bahawa Allah tidak menciptakan nikmat-nikmat ini kecuali dijadikan sebagai cara untuk menyembahNya..
~Petikan dari buku "Jadilah wanita paling bahagia"
Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni~
kurniakanlah kebaikan bagiku dalam beragama, yang merupakan kunci kehormatan bagiku.
Kurniakanlah kebaikan bagiku di dunia yang merupakan tempat aku menjalani hidup. Kurniakanlah kebaikan akhirat bagiku yang merupakan tempat aku kembali.
Jadikan kehidupanku senantiasa lebih baik. Jadikan kematian sebagai kebebasan aku dari segala keburukan..
Ya Allah..
Jadikan umur terbaikku di penghujungnya,
Jadikan amal terbaikku di penutupnya
dan jadikan hari-hari terbaik ku saat bertemu dengan Mu..
Ameen.."
14 November 2009, 26 Zulkaedah 1430H
Alhamdulillah..
Tuesday, September 22, 2009
Salam Aidilfitri
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Taqabbalallahu minna wa minkum..
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H..
buat mak ayah tersayang, ahli2 keluarga di kampung,
buat ahli2 keluargaku di sini,
buat sahabat2ku yang dikasihi,
buat yang mengenali diri,
juga buat sekalian umat Islam..
Moga berkat Allah sentiasa mengiringi kehidupan kita..
Salam Aidilfitri..
Monday, May 18, 2009
Perjuangan harus diteruskan..
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar..
Sesungguhnya segala pujian itu hanya milik Allah swt, Tuhan sekalian ‘alam..
Syukur padaNya atas segala anugerah dan nikmat dariNya.. nikmat Islam, nikmat Iman, nikmat kasihsayang, nikmat kesihatan, nikmat peluang kehidupan.. dan nikmatNya yang lain yang tak terhitung oleh diri ini.. mudah2n diri ini termasuk di dalam golongan hamba2Nya yang bersyukur..insyaAllah

Sudah sekian lama tidak menulis, alhamdulillah, akhirnya diizin Allah jua. Seawalnya ingin menulis sejurus selepas dihadiahkan Allah sebuah anugerah kejayaan.. namun saat selepas itu, ana masih tidak mampu menulis.
“Hati ini hidup apabila iman itu hidup di dalam hati. Dan diri ini tidak mampu menulis andai hati ini tidak hidup”
Hati ini yang seharusnya gembira dengan kejayaan setelah hampir 6 tahun perjuangan ilmu yang penuh dengan suka duka, namun ia tak mampu berkata-kata. Perasaan itu bercampur.. gembira beroleh yang diimpi namun sedih mengenangkan perpisahan yang akan menjenguk dan takut dengan langkah perjuangan seterusnya.. lalu ia mengambil kesempatan untuk duduk bersendirian, mencari penawar agar hati ini hidup kembali..
Seorang sahabat mengingatkan ana tatkala ana keliru dengan perasaan hati ini..
“Mungkin Allah tak nak nti kufur dengan nikmat bila terlalu gembira. Jadilah orang yang bersyukur.. Alhamdulillah”. -syifa’-
Ana akui kata2nya itu. Moga itu hikmahNya.. moga hati ini sentiasa ikhlas menerima anugerah Allah, moga diri ini menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur..insyaAllah
Perjuangan
“Hidup ini adalah satu perjuangan, dan selamanya kita hidup kita akan terus berjuang.” -nik khoir-
Setiap dari kita masing-masing pasti punyai kisah perjuangan kita. Ya, perjuangan itu tidak lepas dari warna-warna kegembiraan dan kesedihan. Itu sunnah perjuangan!
Jika ingin dituliskan kembali pahit manis sebuah perjuangan ilmu ana disini, rasanya terlalu banyak yang ingin dinukilkan, namun cukuplah andainya hikmah itu yang dapat dikongsi bersama. Menyorot kembali impian yang dicita-citakan ini, telah ana semat di hati seawal sewaktu masih di bangku sekolah rendah lagi. Waktu itu masih tidak tahu apa-apa, yang pasti ana tekad itu cita-cita diri ini. Itu cita-cita yang ana jawab apabila di tanya guru, itu cita-cita yang telah ana janjikan pada ibubapa ana, itu cita-cita yang ana kongsikan bersama sahabat2. Ana bawa cita-cita itu, berjuang sebaik-baiknya di alam persekolahan hinggalah akhirnya membawa ana ke sini. Syukur pada Allah, atas kehendak Dia jua segala apa yang ana peroleh hingga ke hari ini. Alhamdulillah.
Selepas menjejakkan kaki ke dalam pengajian perubatan ini, waktu itu ana sedar hakikatnya yang sebenar. Perjuangan ilmu ini bukan sekadar mengadap buku, bukan sekadar berusaha untuk mendapat sebuah title atau sebuah penghormatan dari masyarakat.. tetapi.. ia adalah perjuangan yang memerlukan kesabaran, semangat yang kental, kekuatan hati dan fizikal. Ia adalah perjuangan untuk memikul sebuah amanah dari Allah..
“Belajar nak jadi doktor susah, exam nak jadi doktor susah.. dah jadi doktor pun susah..”. Itulah ungkapan yang hadir pada diri ini. Sehingga ana terfikir, jika ada mereka yang ingin menjejaki langkah ini (ahli keluarga ana, anak-anak ana kelak, atau sesiapa mungkin), apakah sewajarnya yang harus ana katakan pada mereka? Emm, ana akan menceritakan kepada mereka susah senang seorang pelajar perubatan yang bukan semudah yang disangkakan, apatah lagi susah senang apabila bekerja kelak, namun jika tekad mereka ingin meneruskan, pastinya ana lah yang akan menjadi orang yang pertama menyokong mereka. Kerana ana yakin, akan ada insan-insan yang dipilih Allah berada sebaris dalam perjuangan kami di bidang ini, dan ana pasti sekiranya segala kesusahan yang hadir itu diseiringkan dengan niat ikhlas kerana Allah, berjuang untukNya.. ada anugerah disisi Allah kelak. Bukankah setiap yang kita lakukan, andai diniatkan kerana Allah itu dikira sebagai sebuah ibadah?
Moga Allah tetapkan hati ini untuk terus berjuang hanya demi mencari keredhaanNya.. InsyaAllah.
Dalam kesusahan itu pasti ada manisnya. Walau air mata ini pernah menangis atas keperitan, atas ujian diri.. tapi hati ini bahagia kerana mata ini menangis mengakui kelemahan diri sebagai hambaNya, mengakui bahawa dia tak punyai kudrat berbanding Dia yang Maha Agung. Walau diri ini pernah terduduk terjatuh di laluan perjalanan, dia bersyukur kerana Allah masih membangunkan dirinya, dia gembira kerana ada sahabat2 yang sentiasa memberi semangat padanya, ada ahli2 keluarganya yang sentiasa memberi dorongan buatnya . Walau diri ini takut diuji dihadapan mereka yang bergelar gurunya, dia sedar Allah jua yang menguasai hati-hati manusia, Allah jua yang menentukan apakah ilmu yang dipelajarinya mampu dikeluarkan saat dia memerlukannya. Walau diri ini berhempas pulas menuntut ilmu, akhirnya dia sedar tawakkal itu bekal terbaik sepanjang perjalanan perjuangan dan doa itu senjata terbaik untuk dia bawa ke medan imtihan kerana dia yakini “Tiada daya dan upaya melainkan dari Allah”.
Ya, perjuangan ini mengajarnya mengakui, Allah swt itu berhak ke atas dirinya, berhak menentukan yang terbaik buat dirinya.. dan dia ingin menjadi sebaik-baik hambaNya kerana itu tanda pengabdian dirinya pada Tuhan yang sentiasa disisinya selama ini.. Allahurabbi.. besarnya anugerah itu buat diri. Dan diri ini amat berharap anugerah itu sentiasa di sisi diri, menyedari hakikat bahawa dia tak berupaya melakukan sesuatu melainkan dengan izinNya dan segala usahanya kelak hanya sebuah ikhtiar dan hanya Dia yang Maha Menyembuhkan hamba2Nya..
Buat sahabat2 dan adik2 yang sedang berjuang.. teruskan perjuangan anda. Yakinlah pada Dia yang Maha Memberi.. InsyaAllah, andai kita telah ditakdirkan berada di bidang ini, di penjuru ini, Allah akan menghadiahkan buat kita. Dan biarlah hadiah itu kita gapai dengan niat ikhlas berjuang keranaNya, dengan diri yang penuh kesungguhan berusaha, dengan hati penuh tawakkal padaNya dan dengan jiwa penuh tawadduk dan rendah diri padaNya.
Transisi
Kini ana bakal menghadapi transisi sebuah perjalanan kehidupan, daripada alam belajar ke alam pekerjaan. Dan transisi ini memerlukan sebuah momentum yang baru, malah di harap momentum yang lebih baik, kerana perjalanannya berbeza dan lebih mencabar. Nak hadapi housemanship training yang mencabar (baca: menakutkan), nak mengurusan kehidupan setelah bekerja (uhh.. banyak sungguh orang2 offer insurans ni, dah ada yang mula bertanya bla nak edar kad wangi ni..), nak menguruskan kewangan (emm, nanti gaji monthly berapa ye nak menabung, nak bagi mak ayah, nak simpan untuk ke destinasi impian, zakat..), nak istiqamah dalam perjuangan Islam (sahabat2 jauh terpisah, keluarga jauh disisi, suasana persekitaran baru.. siapa yang nak mengingatkan diri nanti?)..
Bila kita dah kerja sendiri ni, kena pastikan rezeki yang kita dapat halalan toyyiban.. bermula dari sumber rezeki yang kita dapat hinggalah ke mana kita belanjakannya dan menyimpannya. Sahabat ana juga mengingatkan bahawa waktu transisi ini juga adalah saat paling mudah “tergelincir”. Duit ada, kerja ada, tak ada orang nak control diri.. katanya salah satu cara yang boleh membantu adalah BM (harap faham la singkatan tu ye.. huhu.. emm, namun takdirNya menentukan segalanya jua).. Ohh.. banyak yang difikirkan dan banyak yang perlu belajar.. Yang pasti, nak menguruskan semua ini perlukan ilmu. Kerana dalam ajaran Islam itu ada segala penyelesaiannya.. Islam is the way of life!. Moga Allah sentiasa memberi petunjuk buat diri ke arah jalan yang benar.
Terus melangkah
Langkah hidup ini perlu diteruskan.. Perjuangan ini bukan berakhir disini, tapi baru bermula. Sebuah kehidupan memikul amanah itu perlu dihadapi.. Berdebar, takut, runsing.. mampukah diri memikul amanah?... macam2 hadir di fikiran.
Ke mana selepas ini kaki ini bakal melangkah, bagaimana menghadapi dugaan- dugaan mendatang.. pada Allah swt juga doa dipanjatkan, moga sentiasa dalam perlindunganNya. Kita akan terus berjuang, terus belajar, kerana ilmu itu harus terus dituntut hingga ke akhirnya. Pengalaman kehidupan juga yang bakal mematangkan diri.. sekolah kehidupan, itulah tarbiyyah yang terbaik!
Sama2 kita terus berdoa sahabat2ku..
agar kita terus diberi kekuatan meniti hari-hari mendatang, dipermudahkan urusan. Moga kita semua sentiasa dalam perlindunganNya, dalam kasih sayangNya, dalam keberkatan dan keredhaanNya..
Moga diri ini terus thabat di jalan perjuangan agamaNya, memperjuangkan Islam di penjuru bidangku ini.
Moga hadirnya diri ini memberi kebaikan dan manfaat buat manusia, juga moga segala usahaku menjadi amal untuk meraih redhaNya...
Menuju Mardhatillah! InsyaAllah.
Friday, March 27, 2009
Ku mahu..

melakukan kebaikan supaya orang lain mendapat manfaat..
Jika aku tak mampu..
janganlah kiranya aku buat kejahatan..
atau kejahatan dalam kebaikan..
Biarlah aku diam andai aku belum bersedia..
kini aku lemah namun tidak pula aku ingin jadi lemah selama-lamanya..
Aku harap aku kan kuat..
dan aku mohon sangat-sangat
biar aku jadi kuat untuk buat kebaikan..
dengan itu aku berusaha..
dan Engkau saja tempat aku mengadu
kerana Kau teman setia, Ya Allah..
Redhailah aku..
sumber: mfr
p/s: moga hadirku membawa sebuah kebaikan.. insyaAllah
--------------------------------------------------
"Ya Allah, aku ini lemah, maka kuatkanlah aku dalam keredhaanMu,
dan bimbinglah aku kepada kebaikan,
dan jadikanlah Islam itu tempat aku meletakkan keredhaan.
Ya Allah aku ini lemah, maka kuatkanlah aku..
aku ini hina, maka muliakanlah aku,
aku ini miskin, maka kayakanlah aku dan kurniakan rezki padaku.
Ameen.."
Thursday, March 26, 2009
Maafkanlah..

Buat insan2 tersayang dalam hidupku..
Mek Ayah, Abe sekeluarga, Kak sekeluarga, AbeNgah sekeluarga, AbeNik sekeluarga, KakChek sekeluarga dan Adik kesayanganku..
Subhanallah, Maha Suci Allah yang menghadiahkan sebuah kasih sayang ini dihati. Maafkanlah diri ini, yang kadang tingkahlaku ini ada mengguris hati dan terima kasih tak terhingga atas kasih sayang yang diberi..Terima kasih kerana menerima diri ini seadanya.. Doakan kaknik deh (^_^)
Buat shbt2 yang dikasihi..
UmmuSulaim, IhdalHusaini, UmmuYazid, Mujahidah dan shbt2 yang dirindui sekalian..
Doakan ana berjaya menjejaki kalian, berjuang di medan sebenar sebuah perjuangan, membawa amanah taklifan, agar menjadi bekal kebaikan kita. InsyaAllah.
Buat shbt2 yang disayangi..
K.shidah, ashikin, hanis, wani dan shbt2 seperjuangan di kampus sekalian.
Sahabat2 yang telah sekian lama sentiasa di sisi~ Ziera, Asrien, Dila, dan lain2.
Kalianlah penyeri sebuah ukhwah.. Maafkan diri ini andai ada hak seorang shbt yang tak tertunai. dan Terima kasih kerana tidak meninggalkan diri ini keseorangan tatkala diuji dengan ujian kehidupan..
Juga buat sekalian mereka yang mengenali diri..
Maaf dipinta...
kerana ana insan biasa, penuh khilaf dan salah..
Ada kalanya terbit su'udzan dihati, kasar tutur dalam bicara, tingkahlaku yang tidak menyenangkan, janji yang dimungkiri dan amanah yang tak tertunai.
Moga dengan kemaafan yang diberi, dapat menenangkan sebuah kusut dihati, meringankan sebuah beban dijiwa..
Dan moga kemaafan insani membawa keampunan dari Ilahi buat hambaNya yang dhaif lagi lemah ini, yang penuh dengan kesilapan diri..
"Dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka Allah memberi keampunan kepada kamu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."
(Surah an-Nur: ayat22)
Allah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani kepada hambaNya..
"Ighfirli Ya Allah, Ighfirli Ya Rahman, Ighfirli Ya Rahim.. "
Juga doakan ana..
beroleh yang yang baik di dunia dan akhirat, yang nilaiannya terbaik di sisi Allah.
kerana doa seorang muslim terhadap saudaranya adalah di antara doa yang mustajab.
Dari Abu Darda' bahwa dia berkata bahwasanya Nabi saw bersabda ertinya :
"Tidaklah seorang muslim berdoa untuk saudaranya yang tidak ada di hadapannya, maka malaikat yang ditugaskan kepadanya berkata : "Amin, dan bagimu seperti yang kau doakan". (Shahih Muslim).
Jazakumullah khairan kathira buat semua..
p/s: kembara kehidupanku pasti berakhir suatu hari nanti dengan sebuah pertemuan denganNya.. alangkah indahnya andai pengakhiran hidupku ini dalam sebuah "jiwa yang tenang" (Surah Al-Fajr: ayat 27)

"Sesungguhnya beruntunglah mereka yang menyucikan jiwa itu.."
(Surah Asy-syams: ayat 9)
Maafkan ana..
Friday, February 06, 2009
Ceritaku..
~Hidayah~

Alhamdulillah, minggu ini juga ana telah kembali "pulih".. Huhu, pulih dari berhibernasi di awal posting. Terasa betapa rugi masa yang tidak digunakan dengan bersungguh2. Waktu itu roda iman ana di bawah, segalanya rasa tak bersemangat. Alhamdulillah, kini Allah bangunkan semula, namun agak terkial2 nak cover semula peluang yang terbengkalai. Emm, terubat bila bercuti, dapat bertemu keluarga, juga dapat ke pantai bersama kakak dan anak2 saudara2 (hehe). Moga masih ada kesempatan waktu buatku.

Minggu ini juga ana beroleh 2 berita baik dalam hidup. Alhamdulillah, ibu telah selamat di operate. Moga keadaan ibu bertambah baik. Ibu amat berharap mudah2n keadaan matanya bertambah baik dan memudahkannya untuk membaca al-quran dan membuat kerja2 seharian. Ibu telah dibenarkan pulang ke rumah, tapi banyak juga pantang larang yang perlu dipatuhi dalam tempoh beberapa bulan ini. Ana agak sedih juga kerana tak berpeluang pulang hujung minggu ini kerana ada kelas malam.

Alhamdulillah juga, Allah hadiahkan seorang lagi puteri dalam keluarga kami. Bertambahla anak2 saudaraku. She is the 16th one! Alhamdulillah. Pastinya abi dan umminya orang yang paling bahagia kan? Nanti cepat2la kelik kelate.. bleh main dengan baby.. =). InsyaAllah, menanti kehadiran seorang lagi anak saudara, the 17th one next month.. Moga semua dipermudahkan.
Hujung weekday minggu ini, ana sempat membaca berita2 terkini negara. Terkejut apabila membaca berita tentang keadaan di Perak. Seawalnya ana tidak memahami apa yang berlaku kerana tidak mengikuti berita pada awal minggu ini. Nak minta orang jelaskan, tak tahu nak bertanyakan pada siapa. Lalu ana cuba juga membaca dan meneliti perkembangan keadaan di sana. Sayu dan sedih hadir di hati ana apabila mendapat tahu keadaan sebenar. Emm, ana memang tak sesuai berada di bidang siasah, mudah tersentuh apabila melihat keadaan seperti ini menimpa perjuangan. Tapi, Allah Maha Adil bukan, pastinya ada hikmah setiap yang berlaku, moga2 menjadi muhasabah dan penggerak untuk terus berjuang. Semua ini sunnah perjuangan, La tahzan, Allah ma'ana.. terus bergerak berjuang. Ana tidak pandai menganalisis, jadi buat2 sahabat2, silakan ke link2 di sebelah yang kebanyakannya telah menghuraikan keadaan di sana. Mari kita sama2 terus berdoa, moga Allah beri yang terbaik. Wallahu'alam.
Monday, January 26, 2009
Hari bahagia sahabatku
Harini hari bahagia teman baikku..
Alhamdulillah, tahniah buat sahabatku Wani =) dan suami,
kerana telah menyempurnakan tuntutan sunnah Rasulullah saw.
"Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu dan ke atasmu serta mengumpulkan kalian berdua di dalam kebaikan. Ameen"
Berbahagialah wahai sahabatku dengan anugerah Allah swt kepada hambaNya yang telah mendirikan sebuah baitul muslim..

"Apabila telah berkahwin seserang umat itu, maka dia telah melengkapi separuh daripada agamanya. Maka dengan itu, bertaqwalah kepada Allah di separuh yang lainnya selepas berkahwin."
(Hadis Riwayat Bukhari)
"Wanita yg menunaikan solat 5 waktu, berpuasa di bulan ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami akan diberi pilihan untuk masuk mana-mana pintu syurga"
(Hadis Riwayat Ahmad)
Pesananku buat pasangan bahagia ini.. (^_^)

Buat dirimu yang bergelar seorang isteri..
"Sebaik-baik isteri adalah yang membahagiakan suaminya jika ia memandangnya, yang sentiasa mentaati suaminya jika ia memerintahnya, dan yang tidak bermaksiat terhadap suaminya atas dirinya dan hartanya dengan sesuatu yang dibenci suaminya."
(Hadis Riwayat An-Nasa'i)
Buat dirimu yang bergelar seorang suami..
"Mukmin yang sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Sebaik-baik manusia diantara kalian adalah yang paling baik akhlaknya kepada isteri-isterinya."
(Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Moga kalian berdua berbahagia dalam kasih sayang dan redha Allah.. InsyaAllah.
p/s: Tahniah juga buat sahabat2 tersayang yang telah bergelar Ummi.. ukht asrien dan k.fizah =).
Thursday, January 01, 2009
~Selamat Berjuang..~
Yang paling jauh bukannya bintang, mentari juga rembulan,
tetapi adalah masa yang berlalu dan takkan kembali.
Kelmarin yang luput menjadi secangkir kenangan,
Kelmarin yang terluput mengukir sesalan.
Yang ada hanya hari ini dan akan datang.
Gunakan hari ini sebaiknya kerana esok belum tentu milik kita,
Sedangkan semalam telah pergi selamanya..
~Imam Syafie~
Assalamu'alaikum saudara2ku sekalian.
Salam Maal Hijrah 1430H. Selamat Tahun Baru Masihi 2009.
Tahun baru tiba juga di susur kehidupan kita. Alhamdulillah, mari kita perbanyakkan syukur pada Allah swt atas segala nikmat yang diberikanNya. Bahkan nafas ini juga milikNya. Syukur kerana masih diberi kasihsayangNya, nikmat Iman dan Islam di dalam dada tatkala ramai leka dengan kemewahan dunia dan hanya sekadar menjadikan Islam pakaian luar diri sahaja. Syukur atas rezeki Allah dalam kehidupan berupa kasih sayang insan, ilmu pengetahuan, keamanan, kesihatan dan segala yang diberiNya hingga tak terhitung banyaknya. Alhamdulillah.
Tatkala tahun baru tiba, saudara kita di Palestin masih bermandi darah. Hati ini sedih melihatkan wajah2 saudara2 disana. Teriakan anak2 kecil, jasad2 yang bergelimpangan, kekurangan bekalan makanan & ubat-ubatan serta terkepung di dalam negeri kerana tidak dapat melepasi sempadan negeri menggambarkan betapa hebatnya ujian di bumi perjuangan Palestin itu. Jiwaku meluap2 kemarahan melihat kerakusan rejim zionis yang pasti sudah hilang sifat kemanusiaannya.
Wahai saudara2ku, pejuang2 mujahidin dibumi BaitulMaqdis, teruslah berjuang, bangkit berjuang atas nama Allah. Sesungguhnya azam, tekad, usaha dan jihadmu akan menghasilkan kemenangan bagi Palestin. Bukankah itu janji Allah? Berjuanglah walau perjalanannya cukup panjang. Doa kami mengiringi disini. Marilah umat Islam sekalian yang mengimani ayatNya "innama mukminuna ikhwah", agar mendoakan saudara2 kita di sana. Moga Allah memberi kemenangan kepada mujahidin, kesabaran kepada umat Islam di sana juga di seluruh dunia dan doakan kehancuran Israel laknatullah. InsyaAllah.
Hari ini juga genap 100 hari countdown ku menuju sebuah medan perjuangan imtihan. Imtihan dalam perjuangan ilmu yang sedang ku usaha selama ini. Perjuangan ilmu yang ingin ku jadikan platform bagi meneruskan tuntutan amanah bergelar khalifatullah. Mungkin saat ini, pintu2 bilik pembelajaran kami sudah boleh di kunci kemas dan dilekatkan tag pintu "Don't disturb" agar dapat memberikan konsentrasi dengan lebih baik. Dan mungkin juga pintu hati ini juga perlu di"tutup" dari di ganggu perkara2 yang masih boleh kelalaian diri pada sebuah tanggungjawab. Masa yang diizinNya ini perlu di atur sebaik2nya. Ilmu dan kemahiran yang dipelajari perlu digilap dengan lebih baik. Juga andai ada ujian, dugaan atau tekanan yang singgah harus ditangani dengan baik. La haula wa la quwwata illa billah. Bantu hambaMu yang terlalu dhaif ini ya Allah...

Dan paling penting hati harus diingatkan pada tujuan sebenar berjuang. Ya, berjuang itu tidak berhenti di kertas imtihan semata, namun berjuang itu akan terus bertapak dalam hidup. Bukankah perjalanan perjuangan itu panjang, dan memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit?
Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khottob radiallahuanhu, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda :
"Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas)berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena dunia yang dikehendakinya atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan."
(Riwayat dua imam hadits, Abu Abdullah Muhammad bin Isma’il bin Ibrahim bin Al Mughirah bin Bardizbah Al Bukhori dan Abu Al Husain, Muslim bin Al Hajjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naishaburi dan kedua kitab Shahihnya yang merupakan kitab yang paling shahih yang pernah dikarang).
Oh sahabat2ku, ana insan biasa, kadangkala imannya di atas, kadang di bawah. Maka doakan ana sahabat2. Hadiahkan ana dengan doa2 padaNya, ingatkan ana pada peringatan dan ayat2 Allah, kuatkan ana dengan kata2 semangat. Doakan moga ujian ini, juga ujian kehidupan mendatang dapat ditempuh sebaiknya. InsyaAllah, Allah sentiasa bersama hamba2Nya kan?
Doakan ana di permudahkan segala urusan, di beri kesabaran yang baik, di kuatkan semangat, beroleh ilmu untuk amal, di beri kesihatan yang baik, di hadiahkan rezeki kejayaan dan di tempatkan di tempat yang di berkatiNya kelak. InsyaAllah.

Juga buat sahabat2 semua, ayuh kita refleksi diri, berusaha untuk hijrah ke arah menjadi hambaNya yang lebih baik. Allah tidak akan mengubah nasib kita, melainkan kita sendiri yang mengubahnya. Walau siapa pun kita, seorang pelajar, guru, doktor, surirumah, anak, ibu dan lain2.. kita tetap memegang amanah sebagai hamba dan khalifahNya seawal kalimah syahadah bertapak di hati. Mari kita usahakan yang terbaik pada kemampuan kita, di bidang kita. Umat Islam harus kuat, umat Islam harus bersatu!
Mari kita terus berjuang keranaNya.. selagi masa dan nafas masih diizinNya! Perjalanan perjuangan diri ini tidak di ketahui bilakah akhirnya. Yang pasti, akhirnya nanti di destinasi yang abadi. Lalu apa lagi yang diharapkan melainkan setiap usaha yang diberi, setiap langkah yang dilalui menjadi sebuah kebaikan buat bertemu Al-Khaliq kelak. Dan moga pertemuan itu bertemu di taman syurga milikNya. InsyaAllah.
Akhir kata, bukan ucapan selamat tinggal ingin ana ucapkan kepada sahabat2.. namun ana lafazkan ucapan Ilalliqa' ~Semoga kita semua bertemu lagi di suatu masa andai diizinNya.InsyaAllah.
Barakallahulakum... (^_^)
"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah Tuhan semesta alam"








