Showing posts with label Cintailah ILAHI. Show all posts
Showing posts with label Cintailah ILAHI. Show all posts

Wednesday, October 31, 2012

Rindu Baitullah

Bismillahirrahmanirrahim..

Rindu akan Baitullah...

"Rindu akan Baitullah bukanlah gemersik rindu yang dicipta.
Ia lahir dari hati yang ikhlas dan diri yang kerdil.
Pengakuan bahawa manusia itu hamba, pengakuan bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan kita bakal dihimpunkan tanpa apa-apa.
Sesungguhnya setiap mereka yang pernah menjadi tetamuNya pasti memahami runtunan jiwa untuk kembali ke sana.
Rasa redha, syukur dan bahagia menyelinap-perasaan yang tiada galang ganti, tidak mungkin dapat dibeli atau diberi.."
Penulis buku 'Rinduku pada Baitullah' , Dr. Ridzwan Bakar.


Dan sesungguhnya hati ini juga sentiasa rindu untuk ke sana.. setiap kali berbicara tentang Baitullah atau berbicara untuk ke sana, pasti hati ini sangat mudah tersentuh dan air mata ini sangat mudah mengalir..

Ya Allah, hatiku ini terlalu rindu untuk menyahut panggillan ke rumah Allah.. rindu untuk merasai kedamaian dan ketenangan di bawah lindungan bumi barokah, di tanah perjuangan Nabi Allah..
Ku mohon padaMu sepenuh hatiku..rezekikanlah diriku untuk tiba di sana...


Ya Allah, permudahkanlah dan rezekikanlah..
Ameen..

Sunday, June 10, 2012

Sahaja aku mencintaiMu


Ku cinta padaMu lebih dari segala-gala
Mampukah kupertahankan Cinta ini
dalam mengabdikan diri padaMu

Andai ada kata yang lebih baik
dari ucapan terima kasih
Pastinya kuucap setulus hati
tanda cintaku padaMu

La ilaha illallah Allahurabbi
La ilaha illallah Allahuakbar

Ya Allah
Alhamdulillah

Andai ada hadiah yang lebih baik
dari melodi syukurku
Semestinya kupersembahkan padaMu
tanda cintaku kepadaMu

Hasbi Rabbi Jallallah
Mafi qalbi ghairullah
Nur Muhammad Sollallah

Setiap hela nafas
setiap gerak tangan
setiap degup jantung
setiap derap kaki
Takkan pernah bermakna
Tanpa CintaMu Ya Allah


Tajuk: Sahaja aku mencintaiMU
Munsyid: Du'a feat Ustaz Amal

Sunday, December 20, 2009

Detik waktu..

Bismillahirrahmanirrahim.



Subhanallah, Allamdulillah, Allahuakbar..
Syukur padaNya. Peluang kehidupan masih diberi Allah buat kita sekalian. Masih berpeluang kita untuk berada di Tahun baru Hijrah 1431H. Alhamdulillah.. mari kita ambil kesempatan bermuhasabah dan menyemai azam. Moga ia jadi permulaan yang baik. Tidak salah berazam.. kerana tanpa azam dan niat untuk berubah ke arah yang lebih baik.. kita mungkin akan tetap di takuk sama.. malah mungkin tindakan kita akan berakhir tanpa tujuan dan paling kita takut berakhir sia-sia. Bukankah sesuatu perkara yang diniatkan semata-mata kerana Allah itu akan menjadi ibadah? InsyaAllah..

Kita hendaklah selalu berubah seperti air yang mengalir.
Bila air berada dilangit ia akan berubah turun menjadi hujan lalu memberi kehidupan kepada haiwan dan tanaman.

Bila berada diatas, air akan mengalir ke lurah dan sungai lalu membersihkan sungai-sungai dari kotoran sampah.
Jangan jadi air yang bertakung,
kerana air yang bertakung tidak berubah, air yang bertakung tidak suci dan akan menjadi kotor dan menjadi penyebab kepada penyakit..
~Almarhum TuanGuru Datuk Haji Fadhil Mohd Noor~

Azam dan niat itu satu permulaan yang penting, malah istiqamah untuk terus buat yang terbaik itu juga penting.. Maka, mari kita semua terus berazam.. tatkala setiap kali kita bangun dan bernafas.. mari kita berazam.. moga hari ini dan hari-hari seterusnya kita akan jadi lebih baik.. moga Allah terus beri kekuatan buat kita semua..



Wahai hati yang leka.. jadilah hati yang sentiasa mengingatiNya..
Wahai jiwa yang lemah.. jadilah jiwa yang kuat berjuang demiNya..

Wahai diri yang alpa.. jadilah diri yang merendah dan meletakkan Dia di puncak utama..

menjadikan setiap perbuatan itu satu amal kebaikan, menjadikan setiap kesilapan hasil kejahilan diri satu teladan..

Ingatlah wahai diri.. ada amanah yang harus dipertanggungjawabkan, ada janji yang harus dikotakan, ada jiwa yang harus dibangunkan..
Berusahalah untuk menjadi hambaNya yang lebih baik.

Firman Allah swt yang bermaksud:
"..sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri"
(Surah Ar-Rad:11)

Kuatkan diriku ya Allah.. kerana tiada daya dan kekuatan melainkan dariMu ya Allah..
Ku mohon moga langkah perjalananku sentiasa dilindungiMu.. sentiasa diberkati dan dirahmatiMu..
kerana setiap detik waktu yang terus berlalu.. semuanya bakal berakhir padaMu..

Sunday, November 22, 2009

Kita hanya milikNya semata..

Bismillahirrahmanirrahim..

Firman Allah swt yang bermaksud:
"Tidak ada satu musibah pun yang menimpa di muka bumi dan tidak pula pada dirimu melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sungguh, yang demikian itu sangat mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) agar kamu tidak berdukacita terhadap apa yang luput darimu dan supaya kamu tidak terlalu bergembira terhadap apa yang Dia berikan kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri."
(Surah Al-Hadid : 22-23)


Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun..
Ada air mata yang menitis dimata ini apabila membaca sebuah emel dari seorang adik menyatakan perkhabaran pulangnya ke rahmatullah seorang hamba Allah..Almarhumah Nurul Zalikah.. Beliau telah di diagnose menghidap penyakit Hodgkin Lymphoma sejak 2007. Seorang pelajar Al Quran dan Al Hadith di UM, juga seorang yang aktif dalam PMAPIUM, GAMIS, Nisa' dan Muslimat. Seorang ahli muslimat yang banyak menggerakkan usaha dakwah dan tarbiyah. Beliau pulang ke sisi Allah pada hari Jumaat, 13hb November 2009. Mari kita sedekahkan Al-fatihah buat al-marhumah.

Ana tidak mengenali al-marhumah.. tapi.. beliau adalah saudara seIslam ana. Hati ana terusik sedih bila membaca perkhabaran pemergiannya.. mungkin kerana usianya sebaya ana.. namun, beliau pulang terlebih dahulu menemui Al-Khaliq..

Tersentak hati ana, kerana mengingatkan.. masa ana juga pasti akan tiba suatu hari nanti.. terkedu mengingatkan.. banyaknya dosa-dosa disisi.. bersediakah diri ini menemui Allah..?
Ya Allah.. cukuplah kematian itu sebagai peringatan buat hamba2Mu..

Emel yang ana buka, sekali lagi menyentap hati ana, apabila membaca perkhabaran seorang sahabat ana.. yang pernah bersama senyum tawa, menangis bersama.. yang tangannya pernah menyuap kami penuh ukhwah.. yang sama2 pernah berjanji untuk teruskan perjuangan bersama2.. namun kini Allah sedang memberinya ujian, beliau kini dirawat di unit rawatan rapi dengan alat bantuan pernafasan. Luluh hati ana apabila mendapat perkhabaran yang sebenar setelah menelefon sahabat ana di semenanjung. Ya Allah, selamatkan sahabatku.. selamatkan dirinya yang kukasihi kerana Allah..

Hatiku terkedu.. terduduk ia bermuhasabah. Takut itu datang menyelinap diri ini.. Dan perlahan-lahan akhirnya hati ini akur.. Ya Allah, memang benar.. hakikatnya kami milikMu semata.. Nafas yang kami miliki, tenaga yang kami gunakan, jantung kami yang berdegup, rezeki yang kami miliki.. semuanya milikMu ya Allah.. kami hanya hamba.. yang ditakdir berada dibumiMu.. membawa tanggungjawab amanah yang besar, disamping rahmatMu yang begitu banyak melindungi dan mengasihi kami..
namun Ya Allah, mengapa hati ini kadang-kadang masih alpa, masih tidak mahu tunduk.. sukar untuk bersyukur.. susah untuk merendah diri.. sedangkan dia sedar.. Daripada Allah dia datang.. dan suatu ketika nanti kepadaNya jua dia bakal kembali..

Ya Allah, ingatkan hatiku yang leka, bangunkan hatiku yang alpa. Ampuni segala dosa-dosaku ya Allah..




p/s: doakan keselamatan dan kesejahteraan sahabat ana..

Sunday, December 28, 2008

Indahnya..


Alangkah indahnya wahai Tuhan
Andai tiap gerak tubuhku.. adalah ketaatanku padaMu
Andai tiap lafaz kataku.. adalah zikir memujiMu
Andai tiap detik hatiku.. adalah tafakur buatMu

Lebih indah lagi wahai Tuhan
Andai bisa kunikmati kasihMu
Andai tetap kudamba cintaMu
Andai terus kuhayati kalimahMu
Agar diriku sentiasa dalam dakapan redhaMu

Pasti terlalu indah wahai Tuhan
Andai Kau membalas cintaku..
dengan kebesaran kasihMu
dengan kesucian sifatMu

tentulah paling indah
Jika cintaku mendapat perhatian
dan Kau janjikan dengan pertemuan
disyurga idaman..


p/s: kasihku padaMu..

Saturday, November 29, 2008

Hujan dan Harapan

Bismillahirrahmanirrahim

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar..

Assalamu'alaikum shbt2ku sekalian. Kaifa halukum? Mg kesihatan fizikal dan iman kita sentiasa dalam keadaan baik. InsyaAllah.



Sekarang, musim hujan sudah tiba. Rasanya hampir kebanyakan negeri2 di negara kita hujan kan? (huhu, duniaku tak berkembang, berlegar sekitar kelantan sahaja). Awal bulan ini, ana tertanya.. kenapa asyik hujan je. Pagi sidai baju, tengahari hujan, petang pulang dari kelas baju di sidaian masih basah. Rupa2nya dah masuk bulan November.. kata orang, musim tengkujuh. Oh, ana terlupa menghitung masa. Emm, cepatkan masa berlalu? Kita kini dah hampir di penghujung tahun 2008. Allahuakbar..

Hujan.. ana suka hujan. Kehadirannya mendamaikan dan menenangkan hati. Hujan yang membasah bumi umpama RahmatNya melimpah ruah ke bumi ini. Ya, hujan itu rahmat dariNya kan?

Setiap kali hujan, ketenangan menyejukkan hati ini.. Bertafakur melihat kejadian 'alam ini membawa diri memuhasabah diri. Tentang sebuah harapan, sebuah impian setiap hambaNya..

Rumput dan tumbuh2n pastinya kegersangan, kekeringan dek kepanasan mentari.. namun, harapan pada nikmat Tuhan, kasih sayang Tuhan akan tetap hadir. Dan kini Allah membasahkan bumi ini dengan rahmatNya. Alhamdulillah.. itu tanda kasih sayang dariNya.

FirmanNya yang bermaksud:
"Dan di antara tanda2 (kebesaran)Nya, Dia memperlihatkan kilat kepadamu untuk (menimbulkan) ketakutan dan harapan, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dengan air itu dihidupkan bumi setelah mati (kering). Sungguh, pada yang demikian itu benar2 terdapat tanda2 bagi kaum yang mengerti" (30:24)

Subhanallah, "dengan air itu dihidupkan bumi setelah mati(kering)".


Tafsirkan ia dalam kehidupan kita.. Hati kita yang kekeringan, pasti akan dibasahkan jua dengan rahmatNya. Walau kita diuji, diberi kesusahan.. malah kadang2 iman kita turun naik.. di saat iman berada di bawah, hati umpama batu yang keras, air mata begitu susah untuk menangis merintih padaNya, jiwa hambar mencari tenang dan khusyuk padaNya..

Namun, jangan putus asa wahai jiwa dan hati.. kerana harapan tetap ada, kerana Dia tetap yang Maha Penyayang dan Pengasih pada hambaNya.. teruslah mengabdikan diri padaNya, merayu kasih padaNya, meminta doa padaNya.. pastinya Dia akan menyambut kita dengan kasih sayangNya dan di situlah saat terindah dalam hati manusia..

Subhanallah, moga Allah melimpahkan rahmatNya kpd kita semua, kepada sekeliling kita.. menyirami hati2 mukmin ini.. umpama Dia melimpahkan hujan ini..

Dan sekiranya kita teliti firman2 Allah swt, Allah juga ada menjadikan hujan sebagai perumpamaan..

FirmanNya dalam Surah Az-Zukhruf ayat 10-11 yang bermaksud:
"Yang menjadikan bumi sebagai tempat menetap bagimu dan Dia menjadikan jalan-jalan di atas bumi untukmu agar kamu mendapat petunjuk."
"Dan yang menurunkan air dari langit menurut ukuran (yang diperlukan), lalu dengan air itu Kami hidupkan negeri yang mati (tandus). Seperti itulah kamu akan dikeluarkan (dari kubur)."

FirmanNya lagi..
"Dan buatkanlah utk mereka(manusia), perumpamaan kehidupan dunia ini, ibarat air (hujan) yg Kami turunkan dari langit, sehingga meyuburkan tumbuh-tumbuhan di bumi, kemudian (tumbuh-tumbuhan) itu menjadi kering yang diterbangkan angin. Dan Allah Maha kuasa atas segala sesuatu" (18:45)



Hujan yang turun itu tanda kebesaranNya. Sekali lagi diberikan peringatan buat kita..
hujan yang turun itu akan menghidupkan tumbuhan yang tandus, ibarat kita akan hidup kembali setelah dimatikan. Hujan yang turun itu akan menyuburkan tumbuhan, namun kemudian tumbuhan itu akan kering dan diterbangkan angin. Oh, itulah ibarat kehidupan dunia ini.. kehidupan dunia yang hanya persinggahan.. sesungguhnya ada kehidupan yang lebih abadi buat kita.. perkampungan akhirat disana.

Ya Allah, bimbinglah kami menuju hidayahMu..

p/s: nukilan revisited and edited from panggilan ke sabah

Friday, November 21, 2008

Bermula di satu pengakhiran (Hadiah 2)

Bermula di satu pengakhiran..
Oleh Pahrol Mohamad Juoi.
Majalah Anis Januari 08





Entah kenapa, di hari lahir kali ini, hatiku sayu sekali. Ucapan tahniah dan hadiah yang melimpah, tidak dapat mengusir segala kesepian yang menjengah. Hati terpasung oleh kata2 yang pernah diucapkan oleh Sayidina Ali:
"Manusia semua tidur, apabila mati baru mereka terjaga. "

Kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa kegembiraan yang masih ada. Apakah aku masih tidur? Ah, tidur yang sangat panjang kalau begitu. Teringat pula kata Imam Ghazali:
"Ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek-robekkan."

Ya, esok ulang tahun kelahiranku. Sudah hampir separuh abad aku bernaung di bawah langitMu ya Allah. Belum pun aku menjadi hambaMu yang sebenar. Masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika lagi? Aku tidak pasti. Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjang umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi.. semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan Selamat Hari Lahir.. selamat pulakah hari matiku?

Siapalah aku
Aku belum bersedia untuk bertemu denganMu Ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk meyatakan tidak dan tunggu. Ya Allah.. segala kekuatan hanya padaMu jua. Kau yang maha tahu apa yang terbaik untukku. Aku merayu padaMu Ya Allah, pada tarikh ini. Untuk mengemis keampunanMu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan datang Ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?

Ya Allah, di hari ini, kupinta dileraikan kusut fikirku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkan gelojak hati ini. Wahai yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun dipinggiran rahmatMu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentiasa mendamba. Entah mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang mujahadah ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah ammarah pula yang sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah ini? Terasa bersalin dua, tiga, dan.. Ya Allah, jaukan aku dari topeng munafik yang menipu daya ini.

Tak mampu menangis
Aku bukanlah Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau takwanya melimpah. Bukan juga Umar Al-Khattab, yang tega memukul diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiatul Adawiyah yang sentiasa berkata:
"Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi."

Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa.. Hatiku keras amat. Ku cuba menangis dengan rasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis. Ya Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi ’hati’ yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati, ya Allah. Aku kembara telah jauh. Namun, kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Jesteru, mudah-mudahan di hari lahirku ini aku akan ’dilahirkan’ semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan limpahan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap, minta-minta diampuni.



Hidup menanti mati
Buat sahabat, teman dan kenalan... terima kasih atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkan aku kerana gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya terimalah secebis kata ini (mungkin ini pun masih dari terowong jiwaku yang gelap-gelita.). Pesanku..
"Marilah kita hidup..
seperti orang yang menanti mati
kerana ingat mati itu
akan mengecilkan segala derita
akan mencairkan segala alpa
kiranya inilah detik terakhir
marilah kita mulakan semula
walau masih tersisa
hanya sedetik Cuma..
itu lebih bermakna! "

Permulaan yang baik?
Ah, kata pujangga, kita akan temui semula sesuatu ditempat yang kita kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik. Ah, teringat ungkapan dalam bahasa Inggeris yang pernah menjadi hiasan meja sewaktu belajar dahulu:
"In life, what sometime appears to be end is really a new beginning."
Mudah-mudahan. Ini permulaan yang baik. Amin ya Allah!

p/s: Hadiah buat diriku, juga buat shbt2 yang telah dan bakal menyambut harilahirnya. Mari kita sama2 muhasabah diri!

Selamat Hari Lahir to all Novemberian~ KHetty (4hb), ukht Aliya (5hb), ukht Hanis (6hb), ukht Siti Hafizah&Hafifah(7hb), ukht As dan ukht Hidayah (12hb), ukht Hafizah (16hb), ukht Hanim (21hb), ukht Afiah (23hb), ukht Thah (29hb) dan sahabat2 novemberian yang lain.. Moga Allah berkati kita sentiasa. InsyaAllah

Salam peringatan untuk tujuan asalmu lahir ke dunia (Hadiah1)

Bismillahirrahmanirrahim

Menghitung detik usia, hampir 2 dekad musafirku dibumi Allah ini . Di usia ini, kebanyakan shbt2 sedang membina kerjaya, memiliki keluarga, juga bakal bergelar ummi.. pastinya itu juga adalah antara impianku, namun bukan ketentuan Allah itu yang ana khuatirkan, kerana itu rahsia Tuhan. Dia akan hadirkan rezekiNya sesuai dengan ketentuanNya, apabila tiba masanya, dan jika masaku masih berkesempatan diizinNya.

Yang dikhuatirkan diri ini adalah sehingga saat ini sejauh mana ana telah berusaha menjadi hambaNya yang baik, melaksanakankan perintahNya dan menjauhi laranganNya, sebanyak mana amal kebaikan yang telah dilakukan, amanah khalifah yang telah dilaksanakan, tanggungjawab sebagai pelajar, anak, ahlikeluarga, sahabat..
mengingatkan semua ini, diri ini khuathir, kalau-kalau dek kelemahan dan kelalaian diri, masaku banyak dihabiskan sia2 dari menunaikan tanggungjawab, dan diriku khuathir andai bekal dosa itu lebih menimbun dari bekal kebaikan.. mohon dijauhkan perkara ini dari diriku ya Allah.

Ana sedar diri banyak kelemahan, banyak tersilap langkah, namun, jangan kerana perkara2 ini , ia menghijab hambaMu ini untuk beroleh keampunanMu ya Allah... Ampunilah segala kesilapan dan kesalahan yang telah terpalit dihatiku, yang telah terlukis ditanganku selama ini. Ighfirli Ya Allah, Ighfirli Ya Rahman, Ighfirli Ya Rahim.



Setiap kali hari lahir tiba, setiap kali itulah juga ana teringat pada saat perpisahan yang bakal tiba, yang pasti tiba, yang tidak diketahui bilakah masanya ia, yang apabila tibanya ia kita takkan dapat kembali lagi kesini... Nafas ini milikNya, suatu hari setiap kita akan dijemput menghadapNya.. persoalannya bersediakah kita disaat itu?.. moga akhirnya nafas ini nanti dalam husnul khatimah.. Ameen Ya Rabb.

Dunia semakin menjauhi, akhirat semakin menghampiri.. Hidup itu semakin singkat, mati itu semakin dekat.. Oh, ya Rabbku, takut dan gerunnya diri ini.. namun dalam takutku ini, hambaMu ini amat berharap agar diberi yang baik dihari akhir kelak.. Beroleh naunganMu, beroleh rahmat belas ihsan dan kasihsayangMu.. Mudah2n...

Sebuah peringatan, itu hadiah yang ingin ana berikan buat diri.. kerana sesungguhnya manusia itu selalu lalai, manusia itu harus sentiasa diingatkan.

Ingatlah Janjimu!

Firman Allah swt dalam Surah Al-A’araf ayat172 yang bermaksud:


"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman), "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab, "Betul (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi".(Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan, "Sesungguhnya ketika itu kami lengah terhadap ini".


Ingatlah wahai diri, perjanjianmu dengan Tuhanmu..sebuah janji yang kemas dinukilkan dalam alquran. Manusia itu pelupa, lalu diturunkan alquran sebagai peringatan buat kita. Sewaktu dialam roh yang keadaannya hanya dalam ilmu Tuhan, kita semua telah mebuat pengakuan bahawa Allah itu sebagai Tuhan, Pencipta alam ini, Pencipta diri kita.

Jiwa asli kita asalnya adalah bersih, namun bila kita hadir ke dunia, pengaruh keburukan dunia, pengaruh syaitan laknatullah, kelemahan diri sendiri... menyebabkan kadang manusia terlupa janjinya. Hawa nafsu diturutkan, syaitan dijadikan teman pembimbing, diri menjadi hamba harta dunia, amal entah kemana, dosa semakin tak lekang, peringatan Tuhan dilupakan.. Oh, kita manusia yang hanya dijadikan dari setitis air mani yang hina, namun akhirnya menjadi penentang Tuhan yang nyata. Nauzubillah! Mohon dari Tuhan, jangan biarkan diri tersasar dari landasan syariatNya.

Wahai diriku, andai diri semakin jauh, kembalilah padaNya. Percayalah, bahawa dalam jiwamu telah bersemayam fitrahmu, bahawa "Allah itu Tuhanku!" Setiap kali hadir detik dihatimu untuk melakukan perkara keburukan, ingatlah janjimu, ingatlah bahawa kau akan kembali padaNya dan setiap perbuatanmu walau sebiji zarah bakal dihitung. Setiap kali hadir detik dihatimu untuk melakukan perkara kebaikan, ikhlaskan hatimu, hadirkan niat untuk melaksanakannya hanya kerana Tuhanmu, dan bersegeralah ke arahnya kerana hidayah itu milik Allah, jangan biarkan ia berlalu kerana kita tidak tahu bilakah ia akan dihadiahkan kepada kita lagi..

Wahai diri, ingatlah janjimu.. bahawa "Allah itu Tuhanku!"

Ingatlah Tujuanmu!

Firman Allah swt dalam Surah Adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud:


"Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepadaKu."


Ingatlah wahai diri, penciptaanmu itu bukan sia2. Masakan Allah menciptakan sesuatu tanpa tujuan. Maka, percayalah ada misi yang Allah tanggungjawabkan padamu. Usah risau diriku, Dia yang mengurniakan amanah ini padamu, pastinya Dia juga akan membantumu. Oleh itu, andai dalam perjalanan ini, hadir ujian dan kesukaran mohonlah padaNya, pasti Dia akan menghadirkan penyelesaiannya.

Allah menciptakan kita tiada tujuan yang lain, melainkan mengabdikan diri padaNya. Kita telah mengaku beriman pada Allah, lalu jangan biarkan hidup kita kosong tanpa tujuan, seluruh hidup kita hendaklah dijadikan ibadah. Beribadahlah dengan mengakui kita adalah hambaNya, tunduk pada kemahuanNya. PerintahNya kita kerjakan, laranganNya kita hentikan.

Jadikan setiap amalmu & langkahmu.. ibadat khusus-solat, puasa, zakat, juga amal hidupmu seharian- dakwah&perjuangan, menuntut ilmu, bekerja, berukhwah, makan, tidur, istirehat, percakapan dan segalanya.. sebagai ibadah. Jika kita melaksanakan semuanya bukan sebagai tujuan ibadah, bukan kerana iman dan taat kita sebagai hamba padaNya, tiadalah ertinya dalam kehidupan dunia yang terbatas ini. Berusahalah untuk membuat yang terbaik dalam hidupmu, melaksanakan perintah dan kewajipan padaNya, menjauhi laranganNya, dan melaksanakan amanah sebagai khalifahNya. Agar hidupmu tidak sia2, agar dirimu beroleh kejayaan hakiki yang kau impikan di hari akhir sana kelak.

Wahai diriku, ingatlah tujuan dirimu diciptakan di bumi ini.. hanya untuk mengabdikan diri padaNya!



~Melakukan dakwah kepada jalan yang baik adalah tugas utama dalam hidup. Padahal jin dan manusia diciptakan ke dunia ini adalah untuk mengabdikan diri pada Allah, kalau tidak beribadat kepada Allah apalah ertinya hidup itu. Umur terlalu pendek didunia ini. Umur yang pendek itu mesti diisi, sehingga setelah manusia mati sekalipun, namun iman dan amal salihnya masih hidup dan akan tetap hidup.~
Tafsir Al-Azhar, Prof Dr Hamka.

p/s: nukilan ini hasil adaptasi dan sekadar pemahaman diri (diri yang kurang ilmunya ini) daripada tafsir 2 ayat tersebut dari Tafsir Al-Azhar oleh Prof Dr.Hamka. Moga ada manfaatnya buat diri dan semua. Allahu’alam

Saturday, October 11, 2008

"Verses of Love"

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah, masih diberi peluang kehidupan untuk terus mengumpul bekal kebaikan. Alhamdulillah, masih berada dalam nikmat IMAN dan ISLAM.
Terima kasih Ya ALLAH..

Ana bukan ingin menulis tentang filem "Ayat-Ayat Cinta" tetapi ingin membawa sahabat2 semua menghayati ayat-ayat yang begitu dekat dengan diri kita semua, yang dihadiahkan Allah kepada hambaNya, yang menjadi mukjizat kekasihNya, yang dijadikan panduan dalam hidup kita.



Alhamdulillah, tarbiyyah Ramadhan menjadikan diri ini begitu ingin dekat dengan ayat2Nya. Semuanya bermula pada Ramadhan tahun lepas, apabila diri ini berazam untuk membaca alquran dan terjemahannya selepas setiap kali solat, walaupun hanya 1 ayat. Syukur, Allah bagi kekuatan melaksanakan azam itu, dan dapat diamalkan juga selepas berakhirnya bulan Ramadhan. Namun, selepas beberapa bulan, amalan itu menjadi semakin hambar.. oh, diri ini gagal untuk istiqamah ya Allah.

Ramadhan kali ini, Allah hadirkan semula perasaan itu.. Merasai betapa indahnya ayat2 Al-Quran itu, cukup menenangkan hati, cukup memberi manfaat dan panduan diri. Bagi mereka yang fasih dalam bahasa Arab pasti akan lebih menghayatinya. Diri ini berharap moga kenikmatan berdampingan dengan Al-Quran yang Allah kurniakan ini kekal dalam diri. InsyaAllah, mari kita sama2 istiqamah sahabat2 semua..

Sebuah pengalaman ana di bulan Ramadhan ini, sewaktu pulang dari solat sunat tarawikh. Bertemankan cahaya bulan yang indah, dihiasi suasana malam yang tenang.. waktu itu ana mengeluh.. mengeluh kepenatan mungkin, mengeluh memikirkan apakah nasibku di masa hadapan nanti. Lantas, ana teringat pada sebuah terjemahan ayat dalam surah Al-Maarij yang dibaca sewaktu tadarrus kami..
"Sungguh, manusia itu diciptakan bersifat suka mengeluh. Apabila dia ditimpa kesusahan, dia berkeluh kesah." (ayat 19-20)

Setibanya ana di bilik, ana terus membuka Al-Quran tersebut dan membaca surah tersebut.
"Maka, bersabarlah kamu dengan kesabaran yang baik." (ayat 5)

Apabila di baca lagi ayat2 dalam surah ini, berjuraian air mata ku...
(Ingatlah)pada hari langit menjadi seperti tembaga cair,
Dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan).
Dan sahabat karib tidak bertanyakan hal sahabat karibnya, (kerana tiap-tiap seorang sibuk memikirkan hal keadaannya sendiri),
Sedang mereka saling melihat. Pada hari itu, orang yang berdosa ingin sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab itu dengan anak-anaknya sendiri,
Dan isteri serta saudaranya,
Dan kaum keluarganya yang melindunginya,
Dan juga sekalian makhluk yang ada di bumi, kemudian mengharapkan (tebusan) itu dapat menyelamatkannya.
Sama sekali tidak!
Sungguh, neraka itu api yang bergelojak,
yang menggelupaskan kulit kepala.
(Ayat 8-16)

Astaghfirullah.. ana bermuhasabah, teresak2 menangis , bertanya pada diri.. bagaimana keadaan diriku ini pada hari akhir kelak, hari yang tiada naungan selain naungan Allah?..

Dan sesungguhnya ayat2 inilah juga yang telah menitiskan air mata seorang shbt sewaktu kami bertadarrus bersama2 di malam hari.. sungguh sayu keadaan waktu itu.

Marilah shbt2 ku, juga diriku.. sama2 kita menghayati dan mengamalkan ayat2Nya. Menjadi penyejuk hati tatkala hadir api kemarahan, menjadi pembakar semangat tatkala putus asa, menjadi jawapan dan panduan tatkala hilang punca.. malah amatlah baik andai kita mampu menjadikannya teman setiap masa.
"Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku dalam keadaan muslim, dan gabungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".
(Surah Yusuf:ayat 101)
p/s: "Ya Allah, dengan Al-Quran, kurniakanlah kasih sayangMu kepadaku. Jadikan Al-Quran ini sebagai imam, cahaya, hidayah, dan sumber rahmat bagiku. Ya Allah, ingatkan ku apabila aku terlupa, ajarkan padaku apabila aku tidak memahaminya. Kurniakanlah kepadaku kenikmatan membacanya, sepanjang waktu, baik malam atau tengahari. Jadikanlah Al-Quran ini bagiku sebagai hujjah, ya Rabbal 'Alamin.."

Thursday, October 09, 2008

Hidup hati dengan redhaNya

Biar hati mati menolak cinta insani,
biar badan lesu ditohmah kata keji.
Jangan kau menangis wahai mata hati,
Menangislah andai cintamu ditolak ILAHI.

Hidupkan hatimu dengan redha ILAHI..


p/s: mencari Mardhatillah..

----------------------------------------------------------

Sebuah perkongsian ilmu, hasil pembacaan terbaru dari sebuah majalah.. "Cinta indah selepas Nikah"

Sunday, September 14, 2008

Langkah yang kadang rapuh, namun hati tetap sarat dengan Cinta


Detik waktu terus berjalan
berhias gelap dan terang

Suka dan duka tangis dan tawa
torgores bagai lukisan

Seribu mimpi berjuta sepi
hadir bagai teman sejati

Di antara lelahnya jiwa
dalam resah dan air mata
Kupersembahkan kepadaMu
yang terindah dalam hidupku

Meski ku rapuh dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati tak sempurna mencintaiMu
Dalam dada kuharap hanya diriMu yang bertakhta

Detik waktu terus berlalu
semuanya berakhir padaMu


Klik sini untuk dengar nasyid Opick, Rapuh


p/s: Maafkanlah hambaMu ini Ya Allah..

Sunday, August 17, 2008

Letaklah harapan dan impianmu padaNya..

Bismillahirrahmanirrahim

Kehidupan adalah sekolahku yang terbaik..
Ya, kehidupan anugerah Allah inilah yang telah mentarbiyyah diri ini.


Bila mengimbau kembali sejarah kehidupan, banyak manfaat yang diperoleh. Ada saat suka, ada saat duka.. ada kesalahan yang dijadikan teladan dan ada kejayaan yang dijadikan pendorong semangat.
Bila memandang ke hadapan pula.. ada impian dan harapan,berusaha dan merancang, namun semua tetap dalam ketentuan Tuhan!

Warna warni kehidupan mematangkan insan.. mendidik diri..
Saat gembira, jangan terlalu alpa dan leka, hingga terlupa pada Dia yang memberi, hingga terlupa pada mereka yang memerlukan diri, tapi harus memperbanyakkan syukur, harus terus memberi kebaikan kepada yang memerlukan.
Saat berduka, jangan putus semangat, hingga jatuh keperitan, tapi harus bangun meneruskan usaha, harus berjuang sedaya upaya.

Semalam ana bertemu sahabat sematrik ana yang telah berbaitul muslim. Belum pernah bertemu untuk mengucapkan tahniah. Alhamdulillah, berpeluang bertemu pasangan pengantin baru ini. Wajah mereka penuh ceria.. inilah hikmah yang Allah berikan.. nikmat sakinah, mawaddah, dan rahmah.

Pertemuan itu juga mengingatkan ana pada sahabatnya.. yang juga sahabat sematrik ana yang telah kembali ke rahmatullah beberapa bulan lalu. Teringat ana pada sahabat ana, ukht yang kehilangan arwah sebelum sempat membina impian keluarga.

Minda ana membawa hati ini berfikir.. tentang roda kehidupan hamba2Nya. Seorang hambaNya ini telah Allah kurniakan kebahagiaan dengan kehadiran seorang isteri disisi.. sedangkan seorang lagi hambaNya ini Allah kurniakan kedukaan kerana kehilangan insan tersayang disisi.

Sesungguhnya masa kehidupan ini akan terus berputar dan makhlukNya terus hidup dengan izinNya untuk menunaikan amanah kehidupan. Setiap kita punya sejarah kehidupan yang telah ditentukan oleh Allah. Kita tidak tahu apa yang bakal kita hadapi di masa hadapan.. bahagiakah, berdukakah..?

Yang mampu kita lakukan saat ini adalah membuat yang terbaik pada ketika ini, kerana kita tidak tahu bila kita bakal dipanggil Tuhan. Kerana kita tahu pengakhiran kehidupan yang baik adalah hanya untuk mereka yang benar2 layak memiliki.

Dan tetapkan dalam hati.. SABAR dan SYUKUR pada setiap ujian hidup..
Sabar pada ujian kesusahan dan Syukur pada ujian kebahagiaan.

Manusia yang beriman itu takkan gundah gulana dengan kehidupan, kerana dia yakin Allah akan sentiasa bersamanya setiap ketika, kerana dia tahu apa jua yang dikurnia Allah buatnya adalah yang terbaik tanda kasihsayangNya.

Jadi, dalam usaha kita, pada siapa lagi harus kita bergantung harap? Meletakkan segala impian dan harapan?..melainkan pada Dia yang Maha Menentukan.. Maha Memberi..


Allahu'alam

Tuesday, August 12, 2008

Harapanku

Bismillahirrahmanirrahim


"O my Dear ALLAH,
make my Love for You,
the most beloved thing to me..

and my fear for You,
the most fearful thing to me..

and remove from me,
all worldly needs and wants,
by instilling a passion for meeting You..

and when You have given the people of the world,
the pleasures of their world,
make the coolness of my eyes,
(pleasure) in worshipping You..
Ameen.."

Ya Allah, Beri ku kekuatan utk meletakkanMu sebagai tujuan Utama dalam setiap langkah hidupku..
Ameen..

~masih mencari CintaNya~

p/s:alhamdulillah, insyaAllah, berpeluang pulang ke pangkuan rumah kasihsayangku.. Hepi holiday buat shbt2 kampus.
Buat my beloved sis, Chek.. welcome to Nik's blog.. =)
Buat shbt2 tersayang.. Hepi Convocation's Day..

Thursday, July 17, 2008

Mardhatillah

Dlm malam kubersujud, bertanya..
Ketika bintang bercahaya,kenapa aku hampa?
Silih berganti wajah sahabat menyapa, membawa berita, juga duka.
Kudengar katanya LA TAHZAN! Jgn bersedih.. Innallaha ma'ana!

Ya Allah, tlg bisikkan pada shbtku,
Disetiap kerlip mata mereka melihat HARAPAN untuk masa depan.
Tolonglah mereka..

Yang menjadi persoalan hidup adalah keyakinan..
Sejauh mana kita merasa akhirat itu benar2 hampir, Allah itu dekat..
Seluruh hidup kita adalah milikNya..
Hanya padaNya kita bergantung untuk terus hidup..

From: HalawahIman
To: Khoir
6 Jul 08 7:23pm



Teringin sekali andai hati ini berkeyakinan begitu.
Sesungguhnya musafir kita didunia,usaha kita disini,
bukan semata2 kerana sebuah kejayaan di mata duniawi,
tapi kejayaan yang ABADI..

Ya Allah, kumohon padaMu,
agar setiap langkah kami,
setiap perit tangis kami,
setiap duka lara kami,
juga setiap manis senyuman dan bahagia hati kami..
beroleh yang utama..MARDHATILLAH!
InsyaAllah

From: Khoir
To: HalawahIman
6 Jul 08 7:30pm

Tuesday, July 15, 2008

Just leave it to ALLAH!

Manusia hanyalah berusaha
Manusia hanyalah berencana
ALLAHlah yang menentukan
ALLAHlah yang memastikan segalanya

Hidup ini hanya sementara
Hidup ini hanya sandiwara
Ada kehidupan yang abadi
Ada kehidupan yang hakiki

Mari kita semai bersama hidup ini dengan kasih sayang
Mari kita jalin bersama hidup ini dengan persaudaraan
Di antara kita karena Allah

Mungkin kita selalu melupakanNya
hingga hidup ini terasa gundah
Mungkin kita telah banyak berdosa
hingga hidup ini menjadi susah

Manusia hanyalah berusaha
Manusia hanyalah berencana
ALLAHlah yang menentukan
ALLAHlah yang memastikan segalanya

~Harapan Bertepi, Kumpulan Maidany~



Carilah hikmah dalam setiap ketentuan ALLAH,
Supaya timbul rasa kesabaran dan kesyukuran.
Setiap yang payah pasti ada kesenangan,
Setiap kesabaran pasti ada ganjaran.
Jika sesuatu itu ditakdirkan untuk kita,
tiada siapa boleh menghalang.
Namun, jika bukan ditakdirkan untuk kita,
pasti takkan dapat walaupun dalam genggaman.

Kita merancang dan berusaha, namun sesungguhnya perancangan dan ketentuan ALLAH itulah yang terbaik buat hambaNya. So, do our best in our life, and let Allah do the rest... Have faith in ALLAH!

"Allahumma inna nas aluka yakinan sodiqa"

Saturday, July 12, 2008

Itulah tanda keagunganNya

Dlm perjalananku pulang kembali ke negeri tercinta bersama shbt2 dari elektifku di Terengganu, kulihat laut membiru terbentang di sepanjang jalan. Mataku tidak puas melihat keindahan itu..

"Cantik kan laut tu.. xtau kenapa, suka sangat tengok laut.. xtau nak cakap macammana perasaan ini..".

Lantas shbtku berpaling padaku dan berkata.. "cakap la..SUBHANALLAH".

Ana tersenyum.. benar katamu shbt..
"SUBHANALLAH, SUBHANALLAH, SUBHANALLAH"..kulafazkan tasbih buat yang Maha Menciptakan..

FirmanNya yang bermaksud:

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda2 bagi orang2 yang berakal, iaitu orang yang mengingati Allah sambil berdiri, atau duduk, atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dn bumi seraya berkata: "Ya Tuhan Kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka"
(Ali Imran: 190-191)

~"Rabbana khalaqta haza batila. Subhanaka faqina 'azabannar"~

Thursday, July 10, 2008

Lihatlah dengan Hati


Pandanglah alam ciptaan ILAHI ini dengan pandangan mata hati,
kerana hati yang bersih mampu menyingkap kebenaran sunnatullah lebih hebat,
dari pandangan mata sebenar,
yang kadang2 menipu diri sendiri...

Thursday, May 08, 2008

Sejuta Harapan


Sejuta harapan
Yang aku sandarkan
Seberkas cahayaMu
Untuk terangi jalanku

Tanpa rahmat ampunMu
Tanpa kasih sayangMu
Hampa terasa hidupku

Ku ingin bersamaMu
Dekat selalu denganMu
Bahagia bersamaMu

Ya Allah
Terangilah gelap hitam hatiku
Ya Allah
Sucikanlah hati ikhlas untukMu




~Sebuah harapan dalam hati akan terus bersinar..
kerana janji Allah itu pasti!!! ~

Tetapkanlah janjimu wahai pejuang2 agama Allah sekalian,
"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam."
(Surah Al-An'am:ayat162)

---------------------------------------------------------
FirmanNya yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya DIAlah yang menjadikan orang tertawa dan menangis."
(Surah An-Najm:ayat43)

Ya.. harini menyaksikan ada air mata ini yang mengalir.. Hanya pada Allah disandarkan segalaNya.. Perasaan ku bercampur baur.Gembira, sedih.. xterkata rasanya. Menangis kerana gembira.. juga kerana sedih. Cukup gembira atas kejayaan sahabat2.. namun, terasa sedih apabila teringat bahawa kami bakal berpisah. Juga berlinangan air mata apabila mendapat tahu adik2 tersayang yang baru mula menapak dalam jalan perjuangan ini, ada juga yang diuji Allah dengan dugaan. Oh.. sungguh sayu rasanya. Namun, sesungguhnya semuanya adalah ketentuan Allah kan? Semua adalah yang terbaik dariNya, maka wahai hati-hati sekalian.. Mari kita kembali padaNya.. Allahurabbi.. ='(

~Ya Allah, kuatkan kami dalam perjalanan hidup ini.
Bahagiakan kami dengan kasihsayangMu.
Hiburkan kami dengan redhaMu..
Ameen.. ~

Friday, April 18, 2008

Allah adalah satu-satunya penolong

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, biiznillah, berpeluang bersama2 adik2 ana yang bakal menghadapi exam Pro1 minggu hadapan. Pertemuan ini sekadar sebuah inisiatif dari seorang kakak yang ingin berkongsi pengalaman dan memberi kata2 semangat.. namun, ana sedar hanya Allah jua yang mampu menenangkan hati adik2 yang bakal BERJUANG di medan imtihan ini!

Dimulai dengan surah Al-Baqarah ayat 155-157, mudah-mudahan ayat2 ini memberi ketenangan kepada adik2 dan mengingatkan mereka bahawa imtihan ini juga adalah salah satu ujian dari Allah.. dan Allah dah berjanji bahawa Dia akan menguji kita dengan sedikit ketakutan, dan sebagainya.. maka bersabarlah kerana Allah akan mengurniakan keberkatan, kerahmatan dan memberi petunjuk bagi mereka yang sabar..

"Bersabarlah menghadapi exam kerana itu juga adalah ujian dan ALLAH dah janji bahawa DIA akan uji kita dengan sedikit ketakutan dan lain2. Berita gembira untuk orang yang SABAR!"

Kemudian, kami sama2 meneliti sebuah tazkirah dari buku La Tahzan karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni yang bertajuk "Allah adalah satu-satunya Penolong.."
Secara ringkasnya tazkirah ini menerangkan tentang betapa lemah dan hina dina nya kita yang tidak memiliki kekuatan melainkan apa yang diizinNya. Kita tidak mampu melawan sesuatu dengan kekuatannya sendiri dan kita hanya mampu menghadapi semua ujian ini dengan bertawakkal padaNya, percaya sepenuhnya padaNya dan menyerahkan semua perkara hanya padaNya..

Mudah2n melalui tazkirah ini, ia akan membuka hati kami untuk meletakkan Allah sebagai satu2nya penolong buat diri. Dan moga ia terus diaplikasi bukan sekadar semasa menghadapi imtihan sebaliknya dalam setiap kehidupan ini. InsyaAllah.

"Oleh kerana itu, wahai orang yang menyedari kelemahan dirinya,
bertawakkallah kepada Yang Maha Kaya dan Maha Kuat,
yang mempunyai kekuatan yang amat besar,
yang tiada bandingannya
agar diri anda selamat dari berbagai kesusahan dan keluar dari bencana!
Jadikanlah
Hasbunallah wa ni’mal wakil
(Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung)
sebagai syiar dan semboyan yang selalu meyelimuti langkah hidup anda."
-Dipetik dari buku La Tahzan-

FirmanNya dalam surah Ali-Imran ayat 173-174 yang bermaksud:
".. cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung. Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar dari) Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredhaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar. "
Benarlah kata2 Allah yang Maha Agung..

~Allahummaj'alna minannajihin wal fa izin fil imtihan, fiddin, fiddunya wal akhirah. Ameen~

Monday, April 07, 2008

Menuju CintaMu


Sebuah sms dari seorang sahabat buat sahabatnya.. Jazakillah.

Demi Allah yang Maha Esa,
sesungguhnya tidak disediakan jalan yang mudah untuk menuju cintaMu, menitisnya air mata tatkala berasa rindu,
menitis air mata tatkala berasa jauh,
tetapi janji Allah tetap segar dan mekar tanpa pengkhianatan,
kerana ku tetap yakini Allah menyatakan
”wajiblah cintaKu kpd orang yang berkasih sayang kepadaKu”
-Asy-Syahid Hassan al-Banna-